Tandukan Umtiti julang Perancis

SAINT PETERSBURG, 11 Julai – Tandukan Samuel Umtiti telah menjulang Perancis ke final Piala Dunia dengan kemenangan 1-0 awal pagi tadi, menyingkirkan ‘generasi emas’ Belgium bagi satu lagi kekecewaan.

Pasukan bintang muda berbakat Perancis kini menyasarkan untuk menebus kekalahan di laman sendiri kepada Portugal di final Euro 2016, menentang sama ada England atau Croatia.

“Final perlu dimenangi kerana kami masih belum melupakan apa yang kami telah kehilangan dua tahun lalu,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Di Piala Dunia yang didominasi oleh gol dari permainan bola mati, sepakan sudut sekali lagi menjadi penentu apabila Umtiti membuat larian untuk menanduk masuk hantaran Antoine Griezmann di separuh masa kedua.

“Apa yang menyedihkan adalah permainan bola mati yang menjadi penentu dalam satu perlawanan yang sengit,” kata bos Belgium, Roberto Martinez.

Samuel Umtit (dua kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan Perancis dalam aksi separuh akhir menentang Belgium. – AP

Sementara Perancis mara ke Moscow, Belgium terpaksa menangani kekalahan itu selama empat hari lagi sebelum perlawanan bagi merebut tempat ketiga Sabtu ini.

“Kami perlu membuang perasaan ini dan menamatkan kejohanan sebaiknya, tidak meninggalkan lebih banyak kekecewaan,” tambah Martinez.

Umtiti menjadi wira perlawanan dan kapten Hugo Lloris menghasilkan persembahan menyelamat terbaik di saat-saat penting.

Lloris dan Courtois memainkan peranan penting dalam kemenangan suku akhir pasukan masing-masing dan pasukan patut berterima kasih kepada keduanya apabila separuh masa pertama separuh akhir itu berakhir tanpa jaringan. – AFP