Tangan bersih elak jangkitan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Dalam usaha menitikberatkan pengamalan kebersihan tangan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kementerian Kesihatan, hari ini melancarkan Kempen Kesedaran Kebersihan Tangan 2019 yang berlangsung di Lobi 5, hospital berkenaan.

Hadir bagi merasmikan kempen yang bertemakan #TanganBersihElakJangkitan (Tangan Bersih Elak Jangkitan) itu ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Jaafar yang seterusnya menyampaikan buku Dasar Pembersihan Tangan Kementerian Kesihatan kepada ketua-ketua perkhidmatan hospital dan ketua-ketua perkhidmatan kesihatan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham turut menyampaikan sijil penghargaan kepada penaja kempen.

Di majlis itu, Yang Berhormat Dato turut menunjukkan enam langkah pembersihan tangan yang betul seterusnya menyaksikan pameran dan merasmikan kiosk jualan Hospital RIPAS dan membuat lawatan ke beberapa wad tertentu bagi menyampaikan risalah menjaga kebersihan tangan kepada pesakit.

Turut hadir di majlis itu, Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Haji Maswadi bin Haji Mohsin serta pengarah, pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan dan ahli Lembaga Pelawat Hospital RIPAS.

Kempen tersebut antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai betapa pentingnya menjaga kebersihan tangan dalam mengurangkan risiko jangkitan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan di kalangan pegawai dan kakitangan hospital, pesakit dan pelawat hospital.

Di samping itu, bagi membudayakan amalan membersihkan tangan semasa berada di dalam hospital seterusnya meningkatkan kemapanan pematuhan kakitangan hospital terhadap kebersihan tangan dan meningkatkan keselamatan dan kualiti pemberian perkhidmatan penjagaan pesakit dalam hospital.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyampaikan buku dasar pembersihan tangan kepada ketua-ketua perkhidmatan hospital dan ketua-ketua perkhidmatan kesihatan.