Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Tangan bionik bantu warga kelainan upaya

    GAZA – Ibrahim Haboob, seorang doktor dari Gaza yang kehilangan tangan kirinya dalam kemalangan 21 tahun lalu, akhirnya memakai tangan bionik.

    “Saya sangat gembira kerana akhirnya saya dapat menggunakan tangan saya, membukanya, menutupnya, dan memegang semua jenis barang tanpa rasa malu,” kata Haboob kepada Xinhua semasa lawatannya ke hospital untuk pemulihan prostetik.

    “Bukan mudah untuk sesiapa menerima kecacatannya, lebih-lebih lagi jika orang itu berurusan dengan orang setiap hari seperti yang saya lakukan,” kata pakar dermatologi itu, juga bapa kepada empat orang anak.

    “Saya merasakan ada sesuatu yang hilang, dan ada pandangan kasihan dari sekeliling, jadi saya memakai tangan prostetik kosmetik,” katanya.

    Haboob adalah antara 40 penerima prostesis anggota badan atas dari Hospital Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani untuk Pemulihan dan Prostetik tajaan Qatar di Gaza, yang ditubuhkan pada akhir 2019.

    Seorang pekerja perubatan menyediakan anggota badan palsu di Hospital Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani untuk Pemulihan dan Prostetik di Kota Gaza. – Xinhua

    “Selama berminggu-minggu, pesakit dilatih tentang cara menggunakan tangan bionik baharu mereka,” kata Ahmed al-Absi, ketua jabatan anggota badan palsu di hospital itu.

    Prostesis itu dibina khas agar sesuai dengan sisa anggota badan dan disambungkan dengan otak pengguna melalui sensor yang mengesan isyarat elektrik otot dan mengubah isyarat tersebut kepada pergerakan, menurut doktor.

    Di kaunter penyambut tetamu klinik, sesetengah pesakit mengambil cawan plastik pakai buang dengan tangan bionik mereka dan mengambil air dari dispenser tanpa merosakkan cawan nipis itu daripada bentuknya.

    “Saya menggunakannya untuk melaku segala-galanya… makan, minum, dan banyak lagi tugas harian yang lain,” kata Fatima al-Nimr, seorang lagi penerima tangan bionik yang kehilangan tangan kirinya akibat kemalangan jalan raya lapan tahun lalu.

    “Saya telah mengharungi banyak situasi yang memalukan, terutamanya apabila saya perlu menggunakan kedua-dua tangan,” kenang wanita berusia 31 tahun dari Gaza itu.

    “Kami sedang berusaha untuk menyediakan litar rawatan bersepadu untuk orang yang memerlukan anggota palsu, yang dibahagikan kepada tiga peringkat: pemulihan psikologi dan fizikal pesakit, pengeluaran anggota badan dan bayaran ansurannya,” jelas al-Absi.

    Di Gaza, terdapat kira-kira 49,000 orang kelainan upaya, atau 2.4 peratus daripada jumlah penduduk, menurut statistik rasmi.

    Hospital itu, yang dianggap satu-satunya di Gaza yang mengkhusus dalam pengeluaran dan pemasangan anggota badan atas elektrik, berharap dapat mengecualikan lebih ramai penduduk kurang upaya tempatan daripada pergi ke luar negara untuk mendapatkan rawatan, menurut al-Absi. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...