Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    ‘Tangan yang menghayun buaian’ kini takluk dunia lelaki

    DAR ES SALAAM – “Tiada pekerjaan yang didominasi lelaki dalam perbendaharaan kata saya. Mekanik kereta telah lama dilihat sebagai dunia lelaki,” kata Jane Goodluck Isowe, seorang wanita yang mengendalikan bengkel membaiki kereta di Magomeni Mwembechai di Dar es Salaam, ibu kota komersil Tanzania.

    Isowe, 49, telah menjalankan bengkel membaiki kereta sendiri sejak 1994, menarik pelanggan wanita dan lelaki yang mengunjungi tempatnya untuk membaiki kereta mereka.

    “Komuniti kita berpendapat bahawa terdapat pekerjaan, termasuk mekanik kereta, untuk lelaki sahaja. Bagi saya, itu adalah mimpi. Wanita boleh melakukan apa-apa pekerjaan yang dianggap dikuasai lelaki jika mereka memutuskan untuk berbuat demikian,” kata Isowe kepada Xinhua dalam temu bual baru-baru ini.

    “Pasukan saya, kebanyakannya pelatih, dan saya membaiki satu hingga dua kereta sehari. Kami membaiki brek, klac, enjin, dan sebagainya,” kata mekanik wanita itu sambil sibuk membaiki kereta.

    “Kebanyakan pelanggan mempercayai saya dan mereka sentiasa menghargai kerja saya,” kata Isowe, menambah sehingga kini dia telah melatih tiga wanita yang telah menamatkan pengajian sebagai mekanik berkelayakan dan kini bekerja di bengkel membaiki kereta yang berlainan.

    Kelihatan Isowe membaiki kereta pelanggan di bengkelnya di Magomeni Mwembechai di Dar es Salaam. – Xinhua

    Selain tiga wanita itu, Isowe berkata dia juga telah melatih lebih 50 mekanik lelaki muda yang telah mendapat pekerjaan di pelbagai bengkel.

    Dia berkata perjalanannya untuk menjadi seorang mekanik kereta yang berpengalaman bermula pada 1989 apabila dia berpindah dari Marangu di wilayah Kilimanjaro ke ibu kota perniagaan Dar es Salaam.

    “Tetapi sebelum saya berpindah ke Dar es Salaam, saya mula memupuk minat terhadap kereta sejak masih muda. Saya membuat kereta daripada plastik,” katanya.

    Di Dar es Salaam, dia tinggal bersama abang iparnya yang mengajar di Universiti Ardhi, katanya.

    “Abang ipar saya mempnyai kereta dan saya pernah bertanya kepadanya fungsi bahagian-bahagian yang berlainan di keretanya.”

    Abang iparnya dan keluarganya kemudian berpindah ke Kanada dan Isowe memutuskan untuk memasuki kolej kesetiausahaan agama sehingga pada awal 1990an apabila dia terserempak dengan bengkel membaiki kereta. Dia bertanya kepada pemilik bengkel bernama Eugene Mushi sama ada dia boleh menyertai bengkel itu dan dilatih sebagai mekanik.

    “Pemiliknya terkejut dan bertanya kepada saya bagaimana seorang wanita seperti saya ingin belajar mekanik,” kata Isowe, sekali lagi membuktikan mekanik adalah pilihan kerjaya yang ganjil untuk diceburi oleh wanita. Isowe bertekad untuk menepis stereotaip tersebut dan menuntut ‘ruangnya’ dalam sektor mekanik kereta yang didominasi lelaki.

    “Saya memakai baju-T, seluar, dan kasut latihan dan mula belajar membaiki enjin,” kata mekanik wanita itu yang berpakaian serba biru. Dia berkata pada mulanya dia bekerja dengan empat mekanik lelaki yang semuanya mahu bekerja dengannya dalam masa singkat.

    “Selepas saya mula bergelut menjadi mekanik kereta, orang ramai kini gembira melihat saya bekerja sebagai mekanik,” kata Isowe, sambil menambah dia tidak sabar untuk menubuhkan bengkelnya.

    Dia berkata dia juga tidak sabar untuk mendapatkan alat moden untuk meningkatkan perniagaannya tetapi ia sangat mahal. Isowe menyebut pencapaian yang diperolehnya daripada perniagaannya, seperti membina rumah, membeli kereta dan melatih lebih 50 mekanik.

    Beberapa orang yang telah dilatihnya menyertai universiti, Institut Pengangkutan Negara dan pusat latihan vokasional dan pendidikan untuk memperoleh kelayakan akademik. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...