Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Tangani cabaran dalam perniagaan

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan BIBD

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Bermula sebagai hobi mengisi masa sementara menanti kemasukan ke peringkat pendidikan seterusnya, Nara Agrofarm miliknya kini menjadi sebuah syarikat dengan visi pertumbuhan dan pengembangan yang jelas.

    Nara Agrofarm merupakan salah sebuah syarikat penternak ayam hasil usaha anak muda tempatan, di bawah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) SME360.

    Pengasas Nara Agrofarm, Awang Mohd Noraiman Rusyaidi bin Roslan berkata, semasa menanti kemasukan berkenaan, beliau merasakan amat perlu melakukan sesuatu sehingga terfikir untuk menjalankan ladang ayam pedaging sendiri, lebih-lebih lagi dengan adanya pengetahuan dan pengalaman yang mencukupi mengenai cara pengendaliannya sejak di bangku sekolah lagi.

    “Nara Agrofarm ditubuhkan untuk mengisi masa lapang selepas saya menamatkan pendidikan di peringkat O pada Disember 2020. Saya menyediakan tempat tinggal dan peralatan ayam pada awal 2021 sebelum memulakan kursus di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) pada Julai 2021,” kongsi pelajar berusia 18 tahun itu yang sedang mengikuti kursus Crop and Livestock Production di IBTE, dalam kenyataan yang dikeluarkan BIBD hari ini.

    Beliau turut mengongsikan, antara cabaran yang dihadapi pada peringkat awal perjalanan perniagaannya ialah kekurangan modal dan tenaga kerja, memenuhi permintaan pelanggan serta isu pengurusan masa kerana beliau terpaksa bergelut antara pengajiannya dan menguruskan ternakan ayam.

    Awang Mohd Noraiman memberi makan ayam-ayam ternakan miliknya.
    Awang Mohd Noraiman pemilik Nara Agrofarm.

    Awang Mohd Noraiman yang menjalankan ladang yang terletak di Kampung Sungai Radang, Daerah Temburong itu hanya bermula dengan pengeluaran sebanyak 300 ekor ayam seminggu dan kini mampu mengeluarkan sekitar 500 ekor ayam setiap minggu sehingga dapat menampung reban untuk lebih 3,000 ekor ayam pada masa tertentu. Nara Agrofarm ditubuhkan secara rasmi pada September 2022 dan telah mula membekalkan kepada kedai tempatan pada Oktober tahun ini.

    Menurut BIBD, Nara Agrofarm hanyalah salah sebuah daripada banyak lagi syarikat usahawan muda yang sedang meningkat naik, yang menerima bimbingan dan tunjuk ajar daripada BIBD SME360.

    Ia memfokuskan kepada penyediaan holistik dan bantuan menyeluruh kepada perniagaan kecil melalui pasukan pengurusan perhubungan yang berpengalaman dan berdedikasi yang bertindak sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam pertumbuhan mereka. Hal ini juga bagi meningkatkan akses kepada kewangan dan sumber, menyediakan nasihat dan bimbingan yang relevan dalam mendigitalkan perniagaan mereka. Pihak BIBD juga berkongsi petua dan idea perniagaan serta memberi panduan tentang cara mengembangkan perniagaan mereka, tambahnya.

    Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan (Pemasaran) di Kumpulan Perbankan Korporat BIBD, Awang Amir Anwar Rahman berkata, memilih mentor yang betul adalah kunci untuk memastikan kelangsungan hidup dan pertumbuhan perniagaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...