Tangani cabaran kesihatan mental dari sudut keagamaan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Dengan hasrat untuk meningkatkan kesedaran mengenai menangani cabaran kesihatan mental dari sudut keagamaan dan kerohanian, Cureheart, Global Shapers Community BSB, PEKA Consultant dan Clarity Sdn Bhd telah menganjurkan forum berjudul ‘Pertemuan Amalan Rohani dan Kesihatan’ secara maya menerusi aplikasi Zoom, pagi kelmarin.

Forum yang merupakan salah satu siri dalam program minggu kedua bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia Brunei Darussalam itu telah dipengerusikan oleh Haji Abdul
Mateen Bolkini bin Haji Ahmad Ia menampilkan dua orang ahli panel tempatan iaitu Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid dan Penolong Kaunselor, Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali.

Forum dihadiri lebih 100 orang peserta dan menerima 41 tontonan di Youtube Livestream di mana perbincangan lebih menumpu kepada sumber motivasi bagi seseorang ketika berdepan cabaran kesihatan mental di samping menekankan pelbagai pendekatan isu-isu berkenaan dengan nilai-nilai kerohanian sebagaimana yang dilaksanakan dalam sistem pentadbiran negara ini oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

Sementara itu, pada sebelah petang, lebih 90 peserta telah menyertai bengkel maya bertajuk ‘Terapi Zikir’ yang diketuai oleh Awang Fariszal.

Bengkel tersebut mendidik peserta untuk menerima ujian yang menimpa sebuah kehidupan harian ke arah perspektif yang lebih baik demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Seterusnya, sesi sokongan dikenali sebagai Emotions Anonymous turut dimuatkan dalam program kesedaran hari kesihatan mental kepada masyarakat awam menerusi aplikasi dalam talian.

Perbincangan bertujuan membenarkan peserta merasakan bahawa mereka tidak sendirian dalam saat menghadapi kesukaran emosi yang sekali gus membolehkan mereka mendapatkan sokongan dan sumber daripada pakar kesihatan mental secara tidak langsung.

Dengan adanya program-program yang diketengahkan, diharap dapat menyediakan sumber, peluang rangkaian dan bimbingan kepada para pelajar dan profesional muda yang memasuki bidang kesihatan mental.

Antara yang mengikuti forum berjudul ‘Pertemuan Amalan Rohani dan Kesihatan’ secara maya menerusi aplikasi Zoom – Gambar serahan Global Shapers Community BSB