Tangani cabaran semasa

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Kesalinghubungan antara ASEAN akan menjurus kepada pertumbuhan ekonomi yang kompetitif, meningkatkan peluang-peluang pelaburan, ekonomi, pekerjaan serta mengurangkan jurang pembangunan.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar berkata, perkembangan bandar dan penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar meningkatkan keperluan bagi ASEAN untuk merancang dan membangun infrastruktur bagi kesalinghubungan, bekalan perumahan dan utiliti, logistik yang lancar dan sebagainya.

“Batasan sumber dana, keupayaan manusia dan peningkatan perubahan iklim serta risiko keselamatan siber yang berkaitan dengan kemajuan teknologi maklumat dan internet of things adalah cabaran ASEAN dalam menangani rangka kerja dan strategi dasar pelbagai dimensi,” tegas beliau dalam ucaptama semasa Forum Kesalinghubungan ASEAN ke-7 yang berlangsung selama dua hari hingga hari ini di Seoul, Republik Korea (ROK). Forum yang pertama kali diadakan pada 2013 itu berfungsi sebagai platform untuk memperkukuhkan kerjasama inisiatif kesalinghubungan infrastruktur antara ASEAN dan pihak swasta Korea.

Sejak 2016, peningkatan perdagangan berterusan sebanyak 15.9 peratus menjadikan Korea sebagai destinasi pelaburan yang ketiga terbesar dan rakan perdagangan kedua terbesar bagi ASEAN.

Sebagai penganjur forum bersama, Korean Chambers of Commerce and Industry (KCCI) dan Construction Association of Korea (CAK) menganjurkan mesyuarat perniagaan untuk mengenal pasti peluang-peluang kerjasama yang dapat diterokai bersama.

Korea telah memberikan sokongan bagi rolling pipeline di bawah Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN (MPAC) 2025 dalam meningkatkan kesalinghubungan serantau.

Turut menyertai rombongan Yang Berhormat Menteri Pembangunan pada forum berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan yang menghadiri taklimat mengenai strategi pembangunan negara dan pengalaman mengenai tenaga, bandar pintar dan kesalinghubungan oleh para peserta forum.

Di samping itu, Yang Berhormat Dato turut mengadakan perjumpaan dengan wakil dari IPP Development Hyundai Heavy Industries Co. Ltd dan GS Engineering & Construction Company Ltd untuk Negara Brunei Darussalam dan bertukar-tukar idea dan maklumat mengenai kapasiti (amalan terbaik) dan pengalaman kejuruteraan di syarikat-syarikat swasta Korea.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan ketika menghadiri forum tersebut.