Tangani isu kekacauan mental

Oleh Rafidah Jumat

Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Peningkatan kadar bunuh diri dan isu kesihatan mental yang sedang berlaku di negara ini terus membimbangkan masyarakat bahkan kebimbangan ini turut dirasakan oleh Pejabat Peguam Negara.

Dari tahun 2014 hingga 2017, sebanyak 35 kes bunuh diri direkodkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) iaitu enam kes pada 2014, lapan kes masing-masing pada 2015 dan 2016 manakala itu, 2017 merekodkan 13 kes dan sembilan kes percubaan bunuh diri.

Jumlah ini amat membimbangkan untuk sebuah negara yang kecil, ujar Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2019 yang berlangsung di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Tambahnya lagi, dari Januari hingga Ogos tahun lalu pula merekodkan sebanyak 11 kes bunuh diri dan tujuh kes percubaan bunuh diri.

Beliau percaya dengan adanya lebih banyak program jerayawara dan pendidikan awam boleh membantu memberikan kesedaran.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hairol Arni ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2019 yang berlangsung di Mahkamah Tinggi.

Agensi kerajaan lain dan pertubuhan bukan kerajaan juga boleh membantu memberikan sokongan sosial dan kaunseling untuk mengubah pola fikiran mengenai kekacauan mental.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Hairol Arni dalam ucapannya turut mengongsikan pindaan terhadap hukuman yang dibuat tahun lalu berhubung jenayah pecah amanah di bawah Kanun Hukuman Jenayah dengan menambah hukuman penjara bagi kesalahan ini.

Hukuman penjara bagi jenayah pecah amanah di bawah bab 406 telah ditambah dari lima tahun kepada 10 tahun.

Jenayah pecah amanah yang dilakukan oleh pembawa yang diamanahkan dengan harta di bawah bab 407 juga ditambah dari 10 kepada 15 tahun manakala itu, hukuman bagi pecah amanah jenayah yang dilakukan oleh kerani atau pekerja kini dilanjutkan dari 10 tahun kepada 15 tahun.

Jenayah pecah amanah yang dilakukan oleh kakitangan kerajaan, jurubank dan peniaga atau ejen pula membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara yang mana sebelumnya 10 tahun.

Pindaan lain juga memasukkan dua bab baharu bagi pecah amanah iaitu bab 409A dan 409B.

Menyentuh mengenai jenayah dan keselamatan siber, beliau berkata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi Pejabat Peguam Negara bekerjasama rapat dengan Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bagi menggubal undang-undang baharu untuk mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan bagi memantau dan melaporkan dengan lebih berkesan mengenai ancaman keselamatan siber.

Pada masa sama, ia mewujudkan rejim pelesenan yang juga berfungsi untuk mengawal selia bagaimana keselamatan data dikendalikan oleh rangkaian telefon bimbit dan penyedia keselamatan data.

Undang-undang baharu berkenaan diharap akan menambah dimensi lanjut bagi privasi data, rangka kerja undang-undang jenayah siber dan keselamatan siber secara keseluruhan.