Tangani isu penduduk tanpa kerakyatan

KUALA LUMPUR, 23 April – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menangani isu penduduk tanpa kerakyatan atau individu berisiko tidak memiliki kerakyatan di Sabah.

Menerusi MoU itu, Suhakam dan Komnas HAM, bersama-sama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina (CHRP) yang turut hadir pada majlis penandatanganan itu sebagai pemerhati, menetapkan matlamat untuk bekerjasama dan memberi sokongan antara satu sama lain berhubung isu-isu tidak memiliki kerakyatan di  Sabah dari sudut pandangan hak asasi manusia.

“Penduduk tanpa kerakyatan di Sabah kebanyakannya berbangsa Filipina dan berketurunan Indonesia. Mereka yang tidak memiliki kerakyatan itu biasanya dinafikan hak-hak asasi manusia yang asas seperti kesaksamaan dari segi undang-undang, hak untuk bekerja, hak untuk mendapat pendidikan, hak kepada penjagaan kesihatan, hak untuk memiliki hartanah dan mereka berisiko menjadi mangsa jenayah seperti pemerdagangan manusia selain diganggu dan dieksploitasi,” kata institusi-institusi hak asasi manusia itu dalam satu kenyataan bersama hari ini. – Bernama