Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tangani isu pengangguran

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Semasa persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) ke-16 yang bersidang buat hari kedua, hari ini, ahli-ahli MMN telah mengutarakan beberapa cadangan untuk menangani isu-isu pengangguran pada masa ini, berikutan penubuhan Manpower Planning and Employment Council (MPEC).

    Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad berkata, “Perlu ada usaha berterusan kita dalam upskilling, reskilling dan lifelong learning di mana pada masa sekarang ia masih bertempiritan dan bersifat in a silo ertinya penjawat kerajaan di bawah jagaan SPA dan IPA, Kementerian Pendidikan untuk pembelajaran sepanjang hayat secara formal dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk pendidikan Islam.

    “Saya cadangkan penyelarasan untuk dibuat di bawah majlis ini (MPEC),” Yang Berhormat Awang Iswandy mencadangkan.

    Menyentuh mengenai reskilling mahupun upskilling pekerja, beliau mengongsikan bahawa ada usaha latihan di peringkat kerajaan seperti di Institut Perkhidmatan Awam (IPA) mahu pun kursus pendek di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), serta latihan-latihan yang disediakan oleh pihak swasta seperti soft skills dan kemahiran teknikal, malah kursus di atas talian bersifat massive online open course (MOOC) juga ada.

    “Namun begitu, latihan-latihan ini walaupun ada usaha untuk memastikan ia dapat dibayar secara berpatutan, namun bagi seorang pencari pekerjaan atau pun orang yang baru saja diberhentikan kerja, untuk membayar kursus $100 atau pun berpuluh ringgit pun terasa berat. Sudah tiba masanya kitani memikirkan supaya adanya subsidi ataupun kredit kewangan dapat dalam perkara ini,” jelasnya.

    Yang Berhormat Awang Iswandy juga ada membangkitkan perkara mengenai jawatan-jawatan yang dipangku di beberapa kementerian yang mana baginya merupakan satu kerugian.

    “Pada pendapat saya, jika seorang penjawat tersebut cuma menjawat jawatan tersebut secara memangku dan menunggu untuk ditetapkan, tidaklah menjadi apanya, akan tetapi jika seorang pegawai tersebut, mempunyai dan memangku dua jawatan, bukankah ia satu kerugian di mana salah satu jawatan tersebut dapat diisi oleh orang lain.

    “Isu memangku terlalu lama juga mungkin dapat kitani sama-sama memikirkan penyelesaiannya. Contoh sahaja, mengikut kajian saya, dua buah kementerian di mana 50 peratus pegawai kanannya dalam jawatan memangku, malah ada sebuah kementerian rata-rata semua pegawai kanan dalam jawatan memangku,” tambahnya lagi.

    Beliau berharap, perkara tersebut tidak berlarutan terlalu lama, kerana ia menampakkan kelemahan dalam Pembangunan Modal Insan dalam succession planning.

    Manakala itu, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit pula menyarankan agar MPEC melaksanakan projek pelaburan dan membuka luas peluang pekerjaan terbaharu, di samping itu mengadakan latihan-latihan dan menyediakan sukatan-sukatan kemahiran bagi menanamkan semangat keusahawanan dari peringkat sekolah dan maktab-maktab.

    “Sebenarnya, apabila sebahagian besar usahawan memiliki semangat keusahawanan, maka tidak perlu dirisaukan akan sedikitnya ruang pekerjaan. Jika seseorang mempunyai jiwa keusahawanan, mestinya ia dapat membina perusahaan sendiri bahkan dapat memberi pekerjaan kepada orang lain,” ujarnya.

    Selain itu, Yang Berhormat Haji Ramli juga menyentuh mengenai kemasukan pekerja asing yang menjejaskan pencari kerja anak tempatan.

    “Walau bagaimanapun, bukanlah bermaksud negara langsung tidak memerlukan pekerja asing kerana ada pekerjaan yang tidak dapat dilakukan oleh anak tempatan, maka tenaga pekerja asing masih diperlukan.”

    Pihak berkenaan khususnya MPEC, perlu mengkategorikan jenis pekerjaan untuk anak tempatan yang masih dijawat oleh pekerja asing yang belum pernah dipegang oleh anak tempatan.

    “Bagi mengatasi perkara ini, pihak majikan dan pengurusan yang terdiri daripada orang asing hendaklah betul-betul jujur mencurahkan ilmu mereka dan memberikan peluang kepada anak tempatan memegang jawatan berkenaan setelah tamat kontrak dan bukannya memberikan dengan pelbagai tekanan menyebabkan anak tempatan berhenti dan akhirnya pekerjaan tersebut diberi peluang pengganti kepada orang asing berterus-terusnya hingga berpuluh tahun dengan alasan anak tempatan tidak tahan bekerja atau memilih pekerjaan,” tekannya lagi.

    Perkara tersebut juga di-sentuh oleh Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis yang berpendapat bahawa pengambilan pekerja-pekerja asing perlu dihadkan sementara akta buruh dan imigresen perlu diteliti semula dan diperketat terutama mengenai dengan dasar-dasar yang sudah lama dan tidak lagi serasi dan selaras dengan keadaan semasa perlu diubah suai.

    “Dasar-dasar baharu juga perlu diperkenalkan untuk memastikan mana-mana projek atau inisiatif yang tidak dapat dibuat disebabkan oleh dasar dan peraturan yang tidak sesuai akan dapat dilaksanakan mengikut keadaan semasa dan memenuhi matlamat wawasan 2035,” jelas Yang Berhormat Awang Naim.

    “Kadar-kadar bayaran seperti visa dan pas pekerja perlulah dinaikkan daripada kadar yang ada sekarang dan ada baiknya juga gaji minimal untuk pekerja tempatan diselaraskan untuk menggalakkan mereka terus bekerja dengan pihak swasta secara berterusan,” tekan Yang Berhormat Awang Naim lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda