PUTRAJAYA, 23 Okt – Usaha yang dilakukan menteri-menteri luar ASEAN dalam membantu komuniti Rohingya di Bangladesh kembali ke Myanmar adalah berasaskan prinsip bahawa isu berkenaan perlu ditangani blok ASEAN sebagai sebuah keluarga, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata menteri-menteri luar ASEAN telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan komuniti Rohingya memperoleh jalan selamat untuk pulang ke negeri Rakhine di Myanmar dan dapat tinggal dengan selamat di sana kerana tanpa jaminan seumpama itu, komuniti Rohingya sudah tentu enggan pulang ke tanah air mereka.
“Sasarannya ialah untuk memulakan proses penghantaran pulang mereka pada musim tengkujuh hujung tahun ini. Jadi, penghantaran pulang mereka dijangka akan bermula pada awal tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Perdana di Wisma Putra di sini hari ini.
Dalam memastikan komuniti Rohingya dapat kembali ke kampung halaman dalam keadaan selamat dan dilindungi, Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan dan Menteri Luar Thailand, Don Paramudwinai akan ke Myanmar pada hujung bulan ini untuk berunding dengan pihak Myanmar mengenai perkara itu, kata beliau.
Kedua-dua menteri itu dipilih kerana Singapura kini adalah pengerusi ASEAN bagi tahun ini manakala Thailand pula akan menjadi pengerusi berikutnya, kata beliau. “Selain Myanmar, dua lagi menteri luar juga akan berunding dengan pihak Bangladesh dengan memahami kedinamikan hubungan Myanmar-Bangladesh,” tambah beliau.
Saifuddin berkata menteri-menteri luar ASEAN telah mengambil keputusan untuk membantu komuniti Rohingya dalam memastikan keselamatan dan perlindungan bagi mereka, ketika para menteri berkenaan bertemu di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bulan lepas. – Bernama
