‘Tangani jurang dalam pasaran hartanah’

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Walaupun rakyat Malaysia berpuas hati dengan usaha kerajaan menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat, namun majoritinya masih merasakan pendekatan yang lebih bersasar perlu dilaksanakan untuk menangani jurang dalam pasaran hartanah.

Menurut Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2018 oleh PropertyGuru, terdapat persepsi meluas bahawa harga hartanah di negara ini masih tinggi selain pasaran mengalami tempoh tidak menggalakkan serta kekurangan modal dan opsyen kewangan yang baik dikatakan antara cabaran oleh pencari hartanah.

Dalam kenyataan hari ini, Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata responden kajian itu memberi tahap kepuasan yang tinggi terhadap inisiatif perumahan oleh kerajaan iaitu 22 peratus, berbanding hanya tujuh peratus pada suku pertama 2013.

“Ini menunjukkan peningkatan keyakinan terhadap inisiatif sektor awam sejak beberapa tahun lepas, dengan rakyat Malaysia mahu kerajaan meningkatkan usaha dalam menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik negara,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik permintaan terhadap program perumahan mampu milik itu, pembelian sebenar adalah masih rendah, dengan 41 perattus responden kajian mengatakan mereka tidak layak untuk memohon skim perumahan negara.

Contohnya, hanya 19 peratus peserta kajian memohon skim Perumahan Rakyat 1Malaysia.

Fernandez berkata sebahagian besar pencari kediaman sama ada tidak layak atau tidak menyedari mengenai kewujudan inisiatif perumahaan mampu milik, yang telah menyebabkan mereka tidak memohon atau mempertimbang pilihan ini.

“Cabaran lain adalah kekurangan konsensus mengenai perumahan mampu milik itu sendiri, memandangkan harga asas adalah berbeza mengikut lokasi.” – Bernama