Tangani kemerosotan pengeluaran padi

KOTA MARUDU, 16 Mei – Kemerosotan pengeluaran padi di daerah Kota Marudu, akibat bencana banjir dan kekurangan kemudahan pengaliran air, perlu ditangani segera, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Tandek Datuk Anita Baranting.

Katanya, banjir besar melanda pada 2014 menyebabkan sawah padi dan bendang tertimbus serta kemudahan tali air rosak. Justeru, beliau berkata dalam usaha melonjakkan semula industri tanaman padi di daerah ini, tindakan pro-aktif perlu diambil kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pertanian.

“Ini memerlukan kerajaan menambahkan peruntukan, selain memperkasakan lagi pendekatan sedia ada. Pada masa sama, subsidi kepada petani antaranya membabitkan baja dan racun perosak terus dikekalkan, sebagai galakan kepada mereka untuk terus mengusahakan tanaman padi,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurutnya usaha itu penting agar petani terus berusaha mengekalkan daerah ini, sebagai nadi pengeluar padi kedua selepas daerah Kota Belud.

Anita berkata beliau telah menyuarakan perkara itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada bulan lepas, dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Datuk Junz Wong) bersetuju meninjau kawasan sawah padi dan bendang di daerah ini.

Katanya antara saranan dan tindakan kerajaan negeri adalah merangka pelan pembangunan strategik, menaik taraf sistem pengairan sedia ada, dan memperkasakan lagi penanaman padi bukit yang turut menyumbang kepada penghasilan beras bermutu. – Bernama