Saturday, August 13, 2022
24 C
Brunei

Tangani kesan-kesan pandemik, iklim

-

Gambar oleh Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan tema ASEM tahun ini mencerminkan keperluan masyarakat global untuk menangani kesan-kesan pandemik COVID-19, persaingan geopolitik dan ekonomi serta perubahan iklim.

Oleh itu, adalah penting untuk terus menanai dan meningkatkan kerjasama pelbagai hala bersandarkan undang-undang antarabangsa, saling hormat-menghormati dan penyelesaian pertikai-an secara aman, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa berkenan menyertai Sesi Retreat Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ke-13 secara maya dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, hari ini.

Pada Sesi Retreat ASEM yang membawa tema ‘Memperkukuhkan Multilateralisme bagi Pertumbuhan Bersama’, Baginda menyatakan situasi di Myanmar merupakan isu yang mencabar di mana negara tersebut mempunyai sejarah yang lama dan kompleks sejak kemerdekaannya lebih 70 tahun yang lalu.

Oleh itu, Myanmar perlu diberi ruang untuk beralih kepada situasi seperti biasa, sebagaimana yang dihasratkan para penduduknya.

Ke arah ini, Baginda berharap agar Myanmar melaksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN tepat pada masanya bagi membina keyakinan bersama rakan-rakan serantau dan antarabangsa.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menyertai Sidang Kemuncak ASEM ke-13 di Istana Nurul Iman.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menyertai Sidang Kemuncak ASEM ke-13 di Istana Nurul Iman.

Pada mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menghargai sokongan berterusan komuniti antarabangsa terhadap usaha-usaha ASEAN dalam perkara ini.

Semasa sesi itu para pemimpin bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Perdana menteri Kemboja semasa menyampaikan ucapan penutupnya telah menyatakan penghargaan terhadap perbincangan yang terbuka dan konstruktif di antara para pemimpin ASEM ke arah menangani isu-isu global yang penting secara kolektif.

Nilai-nilai teras ASEM yang bersifat tidak formal dan saling menghormati telah membolehkan ahli-ahli untuk menangani berbagai-bagai isu sensitif melalui kolaborasi aktif dan rapat ke arah membina rantau-rantau yang lebih aman, selamat dan makmur.

Pada penghujung Sidang Kemuncak ASEM ke-13, kenyataan pengerusi mengenai Memperkukuhkan Multilateralisme bagi Pertumbuhan Bersama; Kenyataan Phnom Penh mengenai Pemulihan Sosioekonomi Pasca COVID-19; dan Hala Tuju Kesalinghubungan ASEM telah diluluskan.

 

Artikel sebelum iniB.1.1.529 masih dikaji
Artikel seterusnyaRibut Arwen badai UK
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Dua beradik bersatu semula selepas 75 tahun

BHATINDA, INDIA, 12 OGOS – Air mata kegembiraan membasahi pipi seorang pekerja buruh India yang akhirnya bertemu abang tersayang dari Pakistan buat pertama kalinya...
- Advertisment -