Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Tiga daripada empat pakej utama dalam Projek Jambatan Temburong kini sedang rancak berjalan dan satu lagi pakej sedang dalam tawaran.
Pada keseluruhannya, projek berkenaan telah mencapai kemajuan 17 peratus dan dijangka siap pada penghujung tahun 2019, manakala itu, Projek Pembinaan Jambatan Sungai Kebun telah mencapai kemajuan 97 peratus dan dijangka siap keseluruhannya sekitar Ogos depan.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah menjelaskan mengenai perkembangan projek-projek berkenaan ketika menyampaikan mukadimahnya pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pagi tadi.
Yang Berhormat Dato juga telah memaklumkan status terkini projek jejambat di persimpangan Jalan Gadong /Jalan Telanai yang menurutnya mencapai kemajuan 90 peratus dan dijangka siap sekitar April depan, manakala itu projek pembesaran Jalan Residency telah mencapai kemajuan 60 peratus dan dijangka siap sekitar April 2018.
Projek Pembinaan Lorong Kedua Seria Bypass pula telah mencapai kemajuan 60 peratus dan dijangka siap sekitar Oktober tahun ini.
Berhubung dengan isu-isu menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur jalan-jalan raya di negara ini, Yang Berhormat Dato berkata, dengan peruntukan bajet yang terhad, kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih jalan-jalan raya dirancang mengikut keutamaan dengan memberi keutamaan kepada perlaksanaan kerja-kerja yang bertahap kritikal dan memberikan manfaat kepada masyarakat di negara ini secara lebih menyeluruh.
“Dalam pada itu, kementerian ini akan sentiasa berusaha dalam memastikan mutu jalan raya adalah selamat dan menurut piawaian antarabangsa.”
Manakala, tambah beliau lagi, menaik taraf sistem saliran air dan pembetungan, pemeliharaan persisiran pantai dan tebing-tebing sungai serta menangani isu-isu kejadian banjir tetap menjadi fokus utama kementerian melalui Jabatan Saliran dan Pembetungan.
Menurut beliau, melalui projek-projek yang telah dilaksanakan selama ini, kerajaan telah berhasil mengurangkan kawasan banjir berisiko kepada 55 peratus dan berhasrat untuk mengurangkan lagi kawasan banjir berisiko daripada 343km persegi sekarang ini kepada 250km persegi melalui projek-projek yang dicadangkan dalam Rancangan Kemajuan Negara ke-11.
Jabatan Saliran dan Pembetungan juga terlibat dalam perlaksanaan projek utama negara iaitu Projek Revitalisasi Kampong Ayer, menimbuk dan menambak dari Kuala Sungai Kedayan ke Jambatan Edinburgh.
Pada keseluruhannya setakat ini projek berkenaan telah mencapai kemajuan 55 peratus dan menurut jadual dijangka siap pada pertengahan tahun 2018. Apabila siap nanti, sebahagian kawasan tersebut dihasratkan untuk dibuka kepada pelabur-pelabur tempatan dan luar negara bagi memajukan kawasan tersebut melalui kaedah PPP, bagi tujuan menarik orang ramai dan pelancong-pelancong luar negara untuk datang berkunjung ke Bandar Seri Begawan.