Tangani masalah logistik bekalan buah

KUCHING, 21 Jan – Kerajaan negeri akan berbincang dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi mencari kaedah terbaik menangani masalah logistik dalam rantaian bekalan buah-buahan tempatan di kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata semua produk buah-buahan tempatan seperti pes durian mendapat permintaan besar di China untuk digunakan dalam penghasilan pastri, ais krim, kek, jem, biskut dan konfeksi lain.

“Masalah logistik ini perlu ditangani memandangkan kebanyakan bekalan buah-buahan ini datang dari kawasan luar bandar.

“Kami cuba menyusun rantaian bekalan, dan berharap Persatuan Peladang (LPP) akan menghubungkan pasaran bagi meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya kepada media pada majlis pelancaran penghantaran pes durian Sarawak ke Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Beliau berkata tumpuan utama Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) adalah untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar serta merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar dalam bentuk pendapatan bulanan.

Seperti yang dilancarkan hari ini, kementerian mengenal pasti A.T.A Supplies (A.T.A) sebagai antara dua syarikat yang membantu dalam membangunkan industri durian Sarawak.

Ini akan memberi manfaat kepada petani di sekitar Sri Aman, Betong dan Sarikei untuk membekalkan durian kampung mereka terus ke A.T.A pada masa depan selain menyelesaikan isu pemasaran apabila terdapat lebihan bekalan dalam pasaran tempatan. – Bernama

Timbalan Ketua Menteri Sarawak (dua, kanan) membuka buah durian tempatan terpilih menggunakan alat khas pada Pelancaran Penghantaran Pes Durian Tempatan Sarawak Pertama ke Kuala Lumpur dan kemudian akan dipasarkan ke negara China. – Bernama