Tangani masalah sosial melalui perniagaan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Jawatankuasa Kerja Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam Social Enterprise, hari ini, telah mengadakan Bengkel mengenai ‘Social Enterprise Ideation: Heart of the Community-Making Social Enterprises Work’.

Bengkel sehari yang menyasarkan beberapa buah syarikat dan organisasi itu telah diadakan di Dewan Serba Guna Kompleks Yayasan, di sini.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadi dan ucapan perasmiannya antara lain menjelaskan bahawa perniagaan sosial mengikut definisi mempunyai banyak tafsiran.

Tetapi secara ringkasnya perusahaan sosial adalah perniagaan yang berdagang untuk menangani masalah sosial dengan sengaja, memberikan orang akses kepada pekerjaan dan latihan atau membantu alam sekitar.

“Dengan menggunakan kuasa pasaran untuk menyelesaikan masalah sosial adalah yang paling mendesak, perusahaan sosial adalah perniagaan berdaya maju sedia ada untuk memberi manfaat kepada orang ramai dan masyarakat, bukan pemegang saham dan pemilik,” jelasnya.

Beliau seterusnya menambah, perusahaan sosial menyediakan tiga tujuan utama atau parameter yang didorong oleh sosial, alam sekitar, budaya atau ekonomi dan memperoleh sebahagian besar pendapatannya daripada perdagangan, bukan daripada sumbangan atau geran.

Turut hadir pada bengkel tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari dan Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad serta Pengarah Urusan Yayasan, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny.

Pada bengkel tersebut, fasilitator jemputan iaitu Pengasas @elimchiewtv, Elim Chiew; Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Project N Pte Ltd, Ernawaty Sorianto; Pengasas UNFRAMED, Larry Tchiou dan Pengasas Bersama Women in Asia, Vivian Lim telah berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka.

Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi semasa berucap pada majlis tersebut.
Tetamu khas yang hadir pada bengkel tersebut sambil mendengar perkongsian daripada salah seorang fasilitator jemputan.