Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tangani perubahan iklim

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah semalam bersabda, perubahan iklim telah menjejaskan kesihatan orang awam, alam sekitar, keselamatan makanan, air, penghijrahan, keamanan dan keselamatan.

    Yang Teramat Mulia juga mengingatkan, jika keadaan ini dibiarkan, semua pembangunan yang telah dicapai oleh masyarakat dunia dalam beberapa dekad yang lalu akan menjadi sia-sia dan untuk itu perlu ada usaha untuk bertindak segera bagi menangani isu ini,” sabda Yang Teramat Mulia semasa merasmikan Persidangan Isu-isu Global Borneo (BGIC) ke-13 anjuran Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB).

    “Langkah-langkah bagi menamatkannya perlu seiring dengan menangani keperluan berjuta penduduk dunia yang masih mempunyai akses kepada pendidikan, kesihatan, perlindungan sosial dan pekerjaan,” sabda Yang Teramat Mulia yang juga penaung diraja BGIC ISB.

    Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, dijunjung oleh Naib Pengerusi Lembaga Pengarah ISB, Nick King dan Ketua Bahagian Menengah ISB, Robert Commons.

    Persidangan tahun ini dengan tema ‘Memastikan penggunaan dan corak pengeluaran yang mapan’ mengingatkan masyarakat bahawa, walaupun kita perlu terus menggalakkan pembangunan untuk menamatkan kemiskinan global dan ketidaksamaan, namun kegagalan dalam melaksanakan kemapanan akan menyebabkan kemudaratan bagi generasi akan datang.

    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ketika berkenan menyampaikan sabda.
    Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ketika berkenan menyampaikan sabda.
    Yang Teramat Mulia ketika berkenan merasmikan BGIC ISB ke-13.
    Yang Teramat Mulia ketika berkenan merasmikan BGIC ISB ke-13.

    Yang Teramat Mulia juga amat berbangga kerana para pelajar yang mengambil bahagian dalam persidangan ini menunjukkan bagaimana mereka memikul tanggungjawab besar untuk memastikan masa depan yang makmur dan berdaya tahan untuk generasi masa kini dan akan datang.

    “Generasi muda merupakan generasi harapan untuk menyelamatkan masa depan dan kesejahteraan bumi ini,” sabda Yang Teramat Mulia.

    “Dalam usaha merealisasikan potensi penuh mereka, kita perlu meningkatkan kesedaran para pelajar mengenai isu-isu yang akan dihadapi oleh dunia serta melengkapkan mereka dengan kepakaran untuk menyelesaikan dan kita juga perlu sentiasa membina kapasiti mereka untuk menjadi ejen perubahan.

    “Pendidikan lebih jauh daripada apa yang dipelajari dalam bilik darjah dan aktiviti seperti BGIC dapat meningkatkan lagi kemahiran hidup yang penting merangkumi komunikasi, keyakinan, perundingan, rangkaian dan pembangunan keperibadian.

    “Melalui penyertaan aktif para pelajar dalam format persidangan PBB akan membolehkan mereka untuk menggunakan perspektif para pemimpin dunia dan menyemai dalam diri pemahaman yang kukuh mengenai perbahasan, perundingan, protokol, persefahaman dan tolak ansur,” sabda Yang Teramat Mulia lagi.

    Yang Teramat Mulia menyeru agar para pelajar yang menyertai BGIC agar lebih yakin dalam menyuarakan pendapat mereka, bertimbang rasa dalam mengambil kira pandangan orang lain dan sentiasa menyedari realiti yang masih dihadapi oleh sesetengah orang dalam kehidupan seharian dan bagaimana kita boleh membantu mereka, tidak kira di mana mereka berada.

    Robert Commons dalam sembah alu-aluannya antara lain menjelaskan perwakilan pelajar yang menyertai BGIC kali ini akan membincangkan dan bertukar-tukar idea bagaimana untuk menangani isu-isu utama yang menjadi kebimbangan global dalam konteks matlamat pembangunan milenium yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

    Pengeluaran dan penggunaan yang mapan tambahnya, adalah bagi mengurangkan sumber penggunaan dan pencemaran di samping meningkatkan kualiti kehidupan.

    BGIC ISB tahun ini menumpukan terhadap langkah-langkah menangani isu-isu alam sekitar global termasuk isu ekonomi dan aspek etika dalam penggunaan secara lestari.

    Hadirin semalam juga mendengar ucapan daripada tiga orang penceramah jemputan luar negara iaitu aktivis dan blogger yang menerajui pelbagai inisiatif kesedaran serta mengumpul dana untuk isu-isu berkaitan bagi menjamin masa depan bumi yang mapan, Kenny Peavy; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Pusat Pemuliharaan Beruang Borneo, Dr Wong Siew Te dan Pemimpin Muda PBB bagi Matlamat Pembangunan Mapan, Karan Jerath.

    Dalam perasmian persidangan itu, ketiga-tiga penceramah undangan menyampaikan ucapan mengenai beberapa inisiatif bagi menangani isu-isu berkaitan global.

    Kenny Peavey ketika menyampaikan ucapan.
    Kenny Peavey ketika menyampaikan ucapan.
    Karan Jerath semasa menyampaikan ucapan.
    Karan Jerath semasa menyampaikan ucapan.

    Dr. Wong adalah penggerak di sebalik usaha-usaha pemuliharaan beruang Borneo yang mencari cara-cara mapan untuk melindungi setiap hutan tunggal kerana beliau percaya ‘setiap perkara hutan adalah perkara penting’.

    Kenny Peavey yang berkongsi sentimen sama adalah aktivis terkenal, peneroka dan juga blogger yang menerajui pelbagai inisiatif untuk memberi kesedaran dan mengumpul dana untuk isu-isu yang berkaitan untuk menjamin masa depan yang lebih mapan di bumi.

    Dalam ucapannya, Kenny menyampaikan mesej kepada para pelajar dan orang dewasa untuk pergi keluar, mengembara dan meneroka.

    “Falsafah utama saya adalah jika anda tidak berada di luar, anda tidak berhubung dengan alam semula jadi dan tanpa hubungan dengan alam semula jadi, anda tidak akan mengambil berat bagaimana membantu alam sekitar atau memegang apa-apa etika pemuliharaan,” jelas beliau.

    “Buatlah apa-apa aktiviti di luar sana yang anda suka dan jadikan aktiviti yang anda suka itu menjadi projek yang boleh membantu alam sekitar,” katanya.

    Sementara itu, Karan Jerath pula menggesa para pelajar untuk melangkah ke hadapan dengan idea-idea mereka.

    “Matlamat utama adalah untuk menyumbang kepada masyarakat dan menjadikannya lebih baik. Saya sedar jika anda mempunyai idea yang berkaliber, dunia akan mendengar dan menggerakkannya. Tidak kira berapa usia anda.”

    Pada usia muda, Karan Jerath juga mencipta satu alat yang boleh menghalang tumpahan minyak dan menjadi ahli termuda Forbes sehingga dipilih sebagai Pemimpin Muda Global PBB bagi program Matlamat Pembangunan Mapan mereka.

    Persidangan empat hari yang berlangsung sehingga 13 Mac itu disertai kira-kira 155 orang pelajar dari 21 buah sekolah di negara ini bagi mengembangkan kefahaman pelajar mengenai kewarganegaraan global serta meningkatkan kemahiran bercakap di khalayak ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda