Tanggung kerugian lebih setengah juta

Oleh  Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Wabak COVID-19 telah menjejaskan pelbagai pihak termasuk industri hotel di negara ini dengan rekod-rekod menunjukkan pembatalan tempahan hotel telah menyebabkan kerugian berjumlah $530,480.58 dan kira-kira 4,174 pembatalan bilik dibuat dari 14 Disember 2019 hingga 31 Mac 2020.

Statistik ini dikongsikan oleh Presiden Persatuan Hotel-hotel Brunei (BAH), Awang Mohd Iswandi Maaruf yang menambah bahawa pembatalan tersebut dibuat menerusi ejen-ejen pelancongan tempatan, ejen pelancongan dalam talian yang juga termasuk tempahan restoran.

“Ia juga membabitkan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE). Statistik-statistik yang diserahkan oleh hotel-hotel tempatan dengan purata kadar penghunian adalah 23.1 peratus sementara kebergantungan hotel ke atas China adalah 19.5 peratus,” jelas Awang Iswandy.

Pembatalan-pembatalan adalah dari negara-negara utama iaitu Australia, Belgium, Brunei, China, Denmark, Hong Kong, Ireland, Jepun, Korea, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Segmen-segmen pasaran pembatalan meliputi ejen pelancongan konvensional (melancong, berkumpulan) sebanyak 24.6 peratus, ejen pelancongan dalam talian (B2C) 19.05 peratus, korporat 10.8 peratus, FIT/Direct Hotel Bookings 9.6 peratus, MICE 4.7 peratus, kerajaan 1.5 peratus dan lain-lain 0.7 peratus.

B2C merujuk kepada proses jualan produk dan khidmat secara langsung antara perniagaan dan pengguna yang merupakan pengguna akhir produk atau perkhidmatannya dan kebanyakan syarikat menjual secara langsung kepada pelanggan boleh dirujuk sebagai syarikat B2C.

Sementara itu, B2B pula adalah perniagaan kepada perniagaan, yang merupakan bentuk transaksi antara perniagaan, seperti yang melibatkan pengeluar dan pemborong atau pemborong dan peruncit serta merujuk kepada perniagaan yang dijalankan antara syarikat berbanding antara sebuah syarikat dan pengguna individu.

Mengulas kebimbangan terbesar industri dalam perkara ini, Awang Mohd Iswandy ketika ditemui selepas perbincangan BAH di Capital Residence pada hujung minggu lalu, berkata bahawa wabak itu masih menjejaskan beberapa buah negara seperti Korea Selatan, dan Arab Saudi menggantung visa pelancongnya.

Ini jelas beliau, akan mewujudkan satu lagi impak kepada industri perhotelan kerana tiada yang membuat perjalanan pada masa ini, oleh itu kebimbangan hotel adalah mengenai bagaimana ia menguruskan kos operasinya dan kos kewangan lain.

Mengulas mengenai kesannya seperti kemungkinan pengurangan tenaga kerja, beliau berkata, disebabkan tiada perniagaan, pengurangan tenaga kerja bukanlah penyelesaian terbaik pada masa ini kerana tidak mudah mengurangkan tenaga kerja kerana kebanyakan hotel mempunyai kakitangan terhad, dengan memikirkan sebaik sahaja perniagaan kembali pulih, sukar untuk mengambil pekerja semula dan akan mengambil masa untuk melatih mereka.

Menurut beliau, sejak 2019, mereka telah menjalankan latihan perkhidmatan pelanggan bagi industri hospitaliti dan latihan itu akan diteruskan lagi sepanjang tahun ini sebagai persediaan Sidang Kemuncak ASEAN 2021.

“Penyelesaian terbaik untuk mencegah pengurangan para pekerja adalah untuk mewujudkan jawatankuasa tugas khas bersama agensi-agensi kerajaan, kerana kami perlu bekerjasama rapat.

“Para pekerja tempatan merangkumi sekitar 1,545 dengan nisbah 72 peratus berbanding pekerja asing (data setakat 2020) dalam industri perhotelan di Brunei Darussalam. Tempatan 72 peratus, warga asing 28 peratus,” jelasnya.