Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Kita harus memberikan keutamaan dalam menangani isu-isu perubahan iklim yang dihadapi untuk melindungi alam sekitar dan sumber-sumber bagi generasi masa kini dan hadapan.
Oleh itu, adalah amat penting bagi kita untuk terus peka mengenai perkara ini dan saling mengingati sesama sendiri peranan individu dan tanggungjawab kolektif yang kita mainkan.
Penekanan dan seruan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Kerja bagi Minggu Tindakan Iklim, dalam kata alu-aluannya pada hari kedua Minggu Tindakan Iklim, Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022, di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada sesi seminar berkenaan ialah Timbalan Menteri, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.
Dr Nor Imtihan berkata bahawa Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan Brunei (BNCCP) mengetengahkan strategi-strategi mitigasi utama bagi Brunei mengambil langkah ke arah penyahkarbonan dan pengurangan pelepasan iaitu strategi bagi pelepasan perindustrian, liputan hutan, kenderaan elektrik, tenaga boleh diperbaharui serta pengurusan sisa dan jana kuasa.
Beliau menambah bahawa kejayaan pelaksanaan strategi-strategi berkenaan akan menyampaikan pengurangan pelepasan kumulatif 15.5 peratus daripada tahap business as usual.
Beliau turut mengongsi beberapa kejayaan yang telah dicapai termasuk menanam lebih daripada 50,000 pohon pokok sehingga kini sebagai sebahagian daripada usaha penanaman semula dan penanaman hutan dan pemasangan solar skala besar 3.3MW yang disaksikan menerusi pentauliahan loji solar Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) untuk mengimbangi penggunaan elektrik di Ibu Pejabat BSP di Seria.
Menurutnya lagi, pihaknya juga secara aktif berusaha bagi penempatan solar skala kecil di perumahan persendirian dan bangunan-bangunan dalam menyokong Program Net-Metering Jabatan Tenaga.
Pada 2021, Negara Brunei Darussalam juga telah melancarkan program rintis kenderaan elektrik (EV) untuk mengkaji dan mengenal pasti persepsi orang ramai serta respons kepada EV dengan peralihan kepada kenderaan-kenderaan yang dikuasakan oleh tenaga alternatif.
Program itu turut menilai kebolehpasaran dan kesediaan pengguna berpotensi di dalam negara serta bermatlamat untuk menilai keperluan dan infrastruktur berkaitan de-ngan EV dan alternatif lain dilaksanakan menjelang 2035.
Dr Nor Imtihan mendedahkan bahawa sehingga hari ini, hampir 20 buah kenderaan EV telah dijual di Negara Brunei Darussalam.
Selain daripada itu, sebuah pasukan petugas telah ditubuhkan untuk merangka dan mewujudkan pilihan-pilihan yang boleh dilaksanakan sebagai sebahagian daripada
usaha memperkenalkan carbon pricing di Brunei.
Matlamat strategi itu adalah untuk memperkenalkan carbon pricing yang berkenaan kepada semua kemudahan perindustrian dan utiliti kuasa yang memacarkan melebihi had ambang pelepasan karbon menjelang 2025.
Dr Nor Imtihan menekankan bahawa walaupun kita telah berjaya melaksanakan sesetengah aktiviti yang ditetapkan oleh strategi-strategi BNCCP, kita masih mempunyai perjalanan yang jauh untuk dituju meskipun 2035 merupakan tahun sasaran bagi penggunaan strategi berkenaan.
Semasa sesi hari kedua Minggu Tindakan Iklim berkenaan, Timbalan Menteri Alam Sekitar Jepun (MOEJ), Kementerian Alam Sekitar, Yutaka Shoda membentangkan ucaptama bertajuk Decarbonization Technology – Japan’s Net Zero Strategy and Opportunity for Collaboration with Brunei yang disampaikan secara maya.
Sementara itu, Pengurus Pusat ASEAN bagi Tenaga, Sekretariat ASEAN, Dr Beni Suryadi membentangkan ucaptama bertajuk The Out-look of Green House Gas Emission in ASEAN, di mana beliau mengongsi mengenai pelepasan gas rumah hijau di ASEAN dan menekankan bahawa dasar-dasar pada masa ini, perlu dipertingkatkan untuk mencapai sasaran Nationally Determined Contributions (NDCs) bagi negara-negara anggota ASEAN.
Beliau menambah, komitmen di bawah NDCs akan menyediakan ASEAN perspektif yang lebih baik mengenai perlunya untuk melaksanakan tindakan mitigasi masa akan datang yang lebih mantap.
Selepas pembentangan ucaptama berkenaan, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo mengadakan lawatan ke petak-petak pameran yang menumpukan kepada tema Minggu Tindakan Iklim, Towards a Low Carbon and Climate-Resilient Brunei Darussalam.