Friday, December 9, 2022
22.4 C
Brunei

-

Tanggungjawab kunci gapai kejayaan

Oleh Nurdiyanah R.

Kejayaan itu tidak mungkin dapat digapai dengan sepenuhnya melainkan bersamanya diiringi dengan keberkatan doa insan-insan tersayang meliputi ibu bapa, ahli keluarga dan juga golongan pendidik.

Di sebalik sebuah perjuangan selama bertahun-tahun, pastinya kepada Allah SWT jugalah tempat kita berharap demi memohon segala yang diimpikan tercapai dengan lancar.

Inilah rata-rata antara luahan tulus yang disampaikan oleh empat orang graduan yang berkesempatan ditemui penulis semasa berlangsungnya Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) ke-12, yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, baru-baru ini.

“Sepanjang mengikuti pengajian selama enam tahun, satu hal yang dipelajari sebagai seorang pelajar iaitu hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dan mengadaptasi apa sahaja kaedah pengajaran dan pembelajaran yang diperoleh mengikut kesesuaian situasi, di mana salah satunya ketika kita berdepan dengan impak pandemik sebelum ini.

“Namun dari situlah kita sebagai pelajar perlu sentiasa menanamkan sifat amanah dalam diri masing-masing. Amanah tentang tanggungjawab yang digalas sebagai seorang pelajar dan juga bakal guru yang akan menjadi pendidik kepada generasi seterusnya,” ujar salah seorang graduan Doktor Falsafah Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), Fakulti Pendidikan, Dr Rabie’ah binti Haji Mohammad semasa majlis berkenaan.

Awang Ahmad Naufal menekankan pentingnya pendidikan akhlak dititikberatkan dalam segala pendidikan sama ada secara formal mahu pun tidak formal.
Dayang Umi Rashidah selaku graduan Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan minor Pendidikan Keluarga Islam, Fakulti Fiqh Al-Usrah ketika ditemui semasa majlis berkenaan.
Dayang Rogayah, salah seorang graduan Sarjana Perguruan Ugama (Pengajian Islam) Fakulti Pendidikan semasa ditemui.
Dr Rabie’ah menyatakan sebagai pelajar perlu sentiasa menanamkan sifat amanah dalam diri masing-masing.

Beliau turut berkongsi, sempurnanya penghasilan sebuah penyelidikan berjudul Penilaian Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Melayu Islam Beraja (MIB) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Negara Brunei Darussalam itu sememangnya ia mempunyai manfaat kepada bangsa lebih-lebih lagi dalam meningkatkan kefahaman yang jelas tentang konsep MIB itu sendiri sekali gus sebagai sumbangan menambah baik pelaksanaan kurikulum pendidikan MIB yang sedia ada.

Tanggungjawab adalah kunci kejayaan

Sementara itu, salah seorang graduan Sarjana Perguruan Ugama (Pengajian Islam), Fakulti Pendidikan, Dayang Rogayah binti Haji Mohiddin turut meluahkan erti kejayaan itu sebagai satu kepuasan diri dalam mengharungi kehidupan ke arah lebih baik.

“Kunci utama kejayaan itu adalah bertanggungjawab sepenuhnya atas kejayaan sendiri.

Kejayaan yang sebenar apabila kita mempunyai hubungan yang baik dengan Allah SWT, sahsiah yang baik, mempunyai budi pekerti dan akhlak yang mulia, terdapatnya hubungan yang baik dengan keluarga, terhadap masyarakat dalam bersedia memberikan sumbangan tenaga dan khidmat bakti kepada negara.

“Di samping itu, kejayaan dalam mencapai cita-cita pula adalah dengan adanya menuntut ilmu dan sentiasa mempertingkatkan ilmu dan menerokainya. Dengan ilmu yang diperoleh itu akan dapat dicurahkan kepada keluarga dan masyarakat, dapat menyumbang kepada pembangunan negara, bangsa dan agama,” ujarnya.

Beliau yang berjaya meniti alam pengajian selama tiga tahun secara separuh masa iaitu belajar sambil bertugas itu menambah antara kemahiran teras yang telah diterokai khususnya dalam aspek bidang perguruan agama ialah kemahiran Al-Quran, kemahiran amali dan kemahiran pedagogi dalam mempertingkatkan kokurikulum asas perguruan agama.

Hal ini agar ianya dapat dilaksanakan dengan jayanya sehingga melahirkan guru-guru agama yang sentiasa bersiap siaga dengan kemahiran yang mantap meliputi aspek bacaan Al-Quran, amali agama dan kemahiran tulisan Jawi.

“Aspek kemahiran Al-Quran dan amali agama ini perlu dikuasai oleh setiap pelajar untuk sama-sama menjadikannya amalan kehidupan sehari-hari di samping sebagai persediaan untuk memenuhi acara-acara kebesaran Islam dan juga majlis suka atau duka.

“Dalam mengikuti program Sarjana Perguruan Ugama bidang ini, beberapa kemahiran utama yang saya terokai merangkumi kemahiran penyelidikan dalam pendidikan, kemahiran pedagogi dan, kemahiran dalam penaksiran dan kemahiran berkomunikasi,” tambahnya yang turut berjaya menghasilkan sebuah penyelidikan mengenai Aplikasi Peta Pemikiran Terhadap Pencapaian dan Minat Pelajar dalam Pelajaran Sejarah Islam di Sekolah Menengah Negara Brunei Darussalam.

Pemantapan nilai keislaman

Manakala Dayang Umi Rashidah binti Sabli selaku graduan Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan minor Pendidikan Keluarga Islam, Fakulti Fiqh Al-Usrah menjelaskan secara umumnya manfaat ilmu yang diperoleh sepanjang mengikuti pengajian selama empat tahun itu ialah dalam hidup berkeluarga, sudah tentu kita akan mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran yang menimbulkan konflik sesama keluarga. Namun semua ini dapat ditangani jika adanya pendidikan moral daripada ibu bapa sebagai pendidik awal dan utama anak-anak sejak kecil lagi.

“Rasulullah SAW merupakan model terbaik dalam membina keluarga, masyarakat dan ummah agar mempunyai keperibadian mulia. Jika tidak ada pendidikan moral daripada ibu bapa, maka fitrah yang sudah ada dalam diri anak sedikit demi sedikit akan hilang. Ibu bapa hendaklah memerhatikan anak-anak sejak dini di samping menanam keimanan dan akidah yang kuat di dalam diri anak-anak.

“Jika anak tersebut diberi bimbingan yang seimbang dengan tuntutan dan keperluan fitrah manusia mengikut ajaran agama Islam, maka akhirnya ia akan dapat membina keluarga yang sakinah mawaddah wa rahmah.

“Mereka juga seterusnya akan menjadi seorang yang berilmu serta mampu berfikir dengan sempurna, kritis, kreatif serta bebas sesudah mereka meningkat dewasa.

“Dengan ini, lahirlah generasi yang berguna kepada agama, bangsa dan negara kerana mereka mampu untuk membuat satu keputusan yang tepat sesuai dengan ilmu pengetahuan yang diperolehinya dan berpandukan ajaran Islam,” jelasnya.

Dayang Umi yang memperoleh pangkat cemerlang turut menambah dalam menerokai kursus dalam bidang perguruan agama, beliau dapat mempelajari bagaimana cara untuk menghadapi pelbagai karenah kanak-kanak di samping memahami dan memenuhi keperluan mereka mengikut perspektif Islam dan untuk dapat membentuk anak-anak menjadi manusia yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT serta berakhlak mulia yang mencakup etika, moral, budi pekerti, spiritual atau fahaman dan pengalaman nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan sehari-hari.

Capai kejayaan dunia dan akhirat

Turut ditemui, Awang Ahmad Naufal Azizi bin Mohammad Norisham selaku pemegang ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Pendidikan Islam) dengan minor Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, meluahkan kejayaan sebenar itu bukan semata-mata merujuk kepada memperoleh keputusan yang cemerlang namun hakikatnya ia merangkumi apabila kita sebagai individu yang beragama Islam itu mampu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Beliau turut menekankan bahawa be- tapa pentingnya pendidikan akhlak ini dititikberatkan dalam segala pendidikan sama ada secara formal mahu pun tidak formal ini kerana zaman yang kita tempuhi ini semakin mencabar yang dipenuhi dengan pelbagai platform media sosial yang pastinya mampu memberi impak yang negatif jika tidak terkawal dari segi penggunaannya.

“Antara amalan yang perlu diterapkan di samping mengamalkan dan menunaikan sembahyang fardu berjemaah dalam kehidupan sehari-hari khususnya dalam institusi kekeluargaan dan juga dunia pendidikan ialah sentiasa berselawat, berzikir, murattal Al-Quran dan sebagainya.

Semua ini jika diamalkan mampu menyemarakkan lagi cahaya keislaman dalam jiwa setiap insan,” ucapnya di akhir pertemuan bersama Media Permata.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Australia, mangsa terselamat berang pembebasan Patek

SYDNEY, 8 DIS – Mangsa-mangsa letupan bom Bali 2002 berang hari ini selepas seorang daripada pembuat bom dibebaskan dari penjara Indonesia, hanya selepas menjalani...
- Advertisment -