Tangki dan pam jadi sasaran

KUALA BELAIT, 2000 – Masalah bekalan air menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai sehinggakan tangki dan pam air kini menjadi buruan pencuri.

Walaupun masalah gangguan bekalan air di beberapa tempat di seluruh negara, termasuk di daerah ini sudah dapat diatasi dan pulih seperti biasa, kebimbangan timbulnya kembali masalah itu masih menghantui sebilangan pengguna.

Ramai pengguna membelanjakan banyak wang untuk membeli tangki air dan pam sebagai persediaan.

Berikutan anggapan pentingnya tangki air, seorang pemilik beberapa buah rumah sewa di kawasan Jalan Maulana dekat sini melaporkan kehilangan beberapa biji tangki air.

Tuan punya itu yang tidak mahu disiarkan namanya mendakwa empat biji tangki air dan pam yang disimpan di belakang keempat-empat rumah sewanya dicuri.

Sebuah lagi dilaporkan hilang di sebuah lagi rumah sewanya di kawasan lain. Menurutnya, tangki air jenis besi tahan karat dibeli dengan harga $800 sebuah sejak beberapa tahun lalu, sementara pam air pula berharga $500 sebuah.

Sebelum berlaku gangguan bekalan air, beliau tidak pernah menghadapi kejadian ini walaupun rumah sewanya tidak berpenghuni.

Beberapa orang jiran di kawasannya itu menyatakan mereka terlihat sebuah lori kecil dengan empat orang lelaki di dalamnya berhenti di belakang rumah berkenaan yang kosong sejak beberapa bulan lalu pada waktu tengah hari dan mengangkat tangki-tangki itu.

Mereka tidak mengendahkannya kerana menyangka mereka pekerja kontraktor membaiki rumah itu.

Sementara itu beberapa orang pekerja kontraktor di sekitar kawasan itu berkata tangki itu masih ada pada tempatnya sebelum mereka pulang untuk makan tengah hari tetapi mendapati ia sudah hilang apabila mereka pulang.