TAP anjur Majlis Khatam, tahlil

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MEI – Tabung Amanah Pekerja (TAP) tidak terlepas menyemarakkan bulan Ramadan dengan mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan bertahlil yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di sini, hari ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan bacaan tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku pengerusi Lembaga TAP.

Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga TAP, Panel Pelaburan, Komiti Audit, Jawatankuasa Polisi Sumber Tenaga Manusia dan pegawai serta kakitangan TAP.

Majlis tersebut turut diselajurkan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim dari Kampung Bolkiah A dan Kampung Bolkiah B serta anak-anak yatim warga TAP. Majlis tersebut diakhiri dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bersama tetamu lain pada majlis khatam Al-Quran dan bertahlil yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien kelmarin.