TAP giat bantu graduan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Sebagai salah satu inisiatif bagi membantu mempersiapkan para graduan sebelum melangkah ke alam pekerjaan, Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah menyertai sesi kongsi sama semasa acara Taklimat Kerjaya Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang telah diadakan di The Inspiring Hall, UBD, semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TAP, sesi berkenaan memfokuskan mengenai kepentingan mempunyai simpanan persaraan dan aspek-aspek penting bagi seseorang individu yang baru bekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta iaitu memperoleh serta memahami kontrak perkhidmatan daripada pihak majikan serta tanggungjawab majikan mereka untuk mendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak di bawah skim TAP dan skim SCP.

Turut dikongsikan ialah mengenai manfaat menyertai skim SCP Bekerja Sendiri yang membolehkan individu yang berhasrat untuk berkecimpung dalam sektor informal (bekerja sendiri) untuk mempunyai simpanan persaraan di samping menerima manfaat bagi keperluan hari persaraan mereka melalui skim SCP.

Perkongsian maklumat melalui sesi seumpamanya merupakan salah satu platform aktiviti pemberigaan berterusan TAP bagi memastikan sumber maklumat yang betul disampaikan kepada orang ramai terutamanya ahli TAP yang baharu dan sedia ada. Melalui perkongsian seumpamanya, mereka juga akan diberikan panduan yang terperinci bagaimana skim-skim ini dijalankan serta manfaat skim yang akan dinikmati.

Maklumat mengenai skim-skim dan perkhidmatan TAP bolehlah diperolehi melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn atau melalui aplikasi mudah alih TAP Brunei. Orang ramai juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan TAP ataupun dengan menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja atau melalui e-mel di ask@tap.com.bn.

Sesi perkongsian bersama penuntut dan graduan UBD di The Inspiring Hall, UBD, kelmarin.