TAP giatkan pemberigaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Penguatkuasaan telah meneruskan lagi jerayawara bagi majikan-majikan baharu berdaftar yang diadakan di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive, baru-baru ini.

Seramai 127 majikan telah menghadiri jerayawara tersebut yang antara lain menerangkan mengenai tanggungjawab majikan untuk mendaftar dan membayar caruman pekerja-pekerja di bawah skim TAP dan skim SCP.

Pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang mencukupi syarat adalah wajib didaftarkan dan dicarumkan ke dalam skim TAP dan skim SCP. Ini termasuklah pekerja sementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja di dalam tempoh percubaan.

Majikan yang gagal membuat bayaran caruman bulanan TAP dan SCP pekerja, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang $3,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya menurut Bab 26, Akta Amanah Pekerja.

Majikan juga diberi penerangan mengenai kepentingan merekodkan dengan lengkap segala butiran dan maklumat pekerja-pekerja bagi memudahkan pemeriksa TAP dan agensi penguatkuasaan yang lain apabila lawatan dijalankan ke premis-premis peniagaan ataupun pejabat majikan.

Jerayawara diteruskan dengan sesi taklimat mengenai tatacara penggunaan perkhidmatan online TAP e-Amanah.

Setiap majikan baharu yang berdaftar di Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN) juga akan didaftarkan secara automatik ke sistem online TAP, e- Amanah.

Semasa jerayawara tersebut, majikan juga diberikan tunjuk ajar tatacara menggunakan sistem e-Amanah seperti mendaftar masuk, membuat pendaftaran pekerja yang memenuhi syarat dan mengemas kini maklumat pekerja dan syarikat, membuat pembayaran caruman TAP dan SCP serta menyemak status pembayaran caruman bulanan pekerja.