Tuesday, January 21, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    TAP kongsi manfaat SPK

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Dengan pengenalan Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) pada 15 Julai 2023, salah satu ciri utama adalah untuk memberikan jaminan persaraan yang lebih kukuh di mana para pesara akan mendapat pendapatan bulanan yang lebih baik dan boleh menerima sehingga sepanjang hayat berbanding manfaat skim sebelum ini.

    Dalam konteks jaminan persaraan yang kukuh, skim tersebut diharap akan menangani cabaran-cabaran utama persaraan di negara ini terutamanya aspek mengenai dengan kecukupan pendapatan persaraan setiap ahli setelah melangkah fasa umur persaraan iaitu 60 tahun nanti.

    Tabung Amanah Pekerja (TAP) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, telah mengongsikan manfaat SPK kepada SPK Gold Generation umur 60 dan ke atas.

    Menurut TAP, skim itu merupakan satu skim yang inklusif di mana penerima-penerima manfaat bulanan SCP 60 Tahun sebelum SPK dilancarkan juga akan diserapkan dan menerima manfaat daripada Akaun Persaraan SPK iaitu manfaat pembayaran anuiti bulanan SPK.

    Pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan meningkatkan jumlah anuiti bulanan ahli tidak kurang daripada $250 sebulan dan ahli boleh menerima sehingga sepanjang hayat tertakluk kepada terma dan syarat.

    Gambar Freepik

    Jumlah peningkatan anuiti bulanan itu jauh lebih baik daripada skim sebelumnya bagi memastikan setiap ahli SPK menerima minimum $500 sebagai pendapatan persaraan setelah dicampurkan dengan penerimaan Elaun Pencen Umur Tua iaitu $250 setiap bulan.

    Beberapa perkara perlu diketahui oleh ahli SPK Gold Generation umur 60 dan ke atas yang memegang kad pengenalan kuning dan kad pengenalan ungu (bukan warganegara asing).

    Sekiranya ahli sebelum ini mempunyai baki simpanan SCP di atas $12,000, penerimaan bulanannya setelah diserapkan ke SPK akan dinaikkan kepada minimum $250 sebulan secara automatik dan dibayar sehingga sepanjang hayat.

    Manakala itu, bagi ahli yang sebelum ini mempunyai baki SCP di bawah $12,000 (telah pun membuat pengeluaran SCP secara keseluruhan), ahli juga akan layak menerima anuiti bulanan minimum $250 sebulan dan tempoh pembayaran adalah tertakluk kepada jumlah bantuan kerajaan.

    Ahli juga diberikan pilihan sekiranya ingin membuat pembayaran top-up untuk mendapatkan pembayaran anuiti sepanjang hayat. Ahli yang dalam kategori itu dinasihatkan untuk mengunjungi kaunter TAP yang berdekatan bagi pengisian borang dan membawa kad pengenalan asal dan penyata akaun bank yang terkini.

    TAP turut mengongsikan bahawa tanggungan bagi ahli-ahli yang dikategorikan sebagai ahli SPK Gold Generation umur 60 dan ke atas juga akan dilindungi di bawah manfaat turunan sehingga ahli berumur 75 tahun.

    Manakala itu, bagi ahli SPK Gold Generation umur 60 dan ke atas penduduk tetap yang memegang kad pengenalan ungu (warganegara asing) dan mempunyai baki SCP di atas $12,000 sebelum ini, akan menerima peningkatan anuiti bulanan $500 sebulan sehingga 20 tahun atau sehingga jumlah baki SCP ahli habis. Maklumat lengkap mengenai SPK boleh didapati melalui laman sesawang TAP atau akaun rasmi media sosial Facebook, Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Instagram, @TAP Brunei.

    Orang ramai boleh juga menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2722929 semasa waktu bekerja atau melalui e-mel, ask@tap.com.bn untuk mendapatkan maklumat lanjut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda