Tapai air tok imam jadi pilihan di pagi raya

MACHANG – Keputusan Mohd Nadzri Mat Daud, 62, memulakan perniagaan tapai pulut untuk membantu ekonomi keluarganya yang kurang stabil kira-kira 27 tahun lalu, ternyata tidak sia-sia apabila juadah itu kini menjadi sumber pendapatan utamanya.

Imam Masjid Mukim Laha, Pulai Chondong, Mohd Nadzri mendapat ilham untuk terjun ke dalam perusahaan tersebut selepas melalui satu kawasan hutan yang mempunyai banyak pokok getah sebelum terfikir olehnya bahawa daun getah boleh ‘dijadikan’ duit.

Bercakap kepada Bernama, Mohd Nadzri berkata dia kemudian belajar proses membuat tapai daripada arwah neneknya dan selepas itu, dia tidak menoleh ke belakang lagi mengusahakan perniagaan yang dikenali masyarakat setempat sebagai ‘Tapai Tok Imam’.

“Terdapat dua jenis tapai pulut yang dibuat iaitu tapai pulut putih dan tapai pulut hitam. Harga semasa kedua jenis ini berbeza iaitu untuk 100 biji pulut putih dijual pada harga RM35 manakala pulut hitam RM40.

“Tapai Tok Imam ini masih mengekalkan cara lama iaitu dibungkus menggunakan daun getah yang boleh menghasilkan aroma yang istimewa.

Pengusaha tapai Mohd Nadzri Mat Daud, menggaul adunan tapai pulut atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat dengan panggilan ‘Tapai Tok Imam’ diproses secara tradisional yang diwarisi dari nenek beliau ketika ditemui Bernama di Kampung Pulai Chondong di sini. – Bernama
Kelihatan Wan Hamidah Wan Hamad (dari kanan) dibantu anak-anak Nur Sakinah, Nur Asyikin, dan Nur Syuhada membantu membungkus tapai pulut. – Bernama

“Selain daun getah yang berkualiti, kami guna lidi kelapa bukan ‘stapler’ untuk mengemaskan balutan tapai,” katanya yang menjalankan perniagaan tersebut di Kampung Pulai Chondong.

Bercerita lanjut, Mohd Nadzri juga percaya teknik menggaul adunan pulut dan ragi adalah penentu keistimewaan rasa tapai yang dihasilkannya kerana di situ dia titipkan resipi warisan nenek moyangnya.

“Sekiranya terlebih sukatan bahan seperti ragi dan gula akan menjejaskan tahap masak tapai tersebut. Tapai yang sudah masak iaitu selepas proses peram, mampu bertahan selama satu hingga dua bulan sekiranya diletak di dalam peti sejuk,” kata bapa kepada 12 cahaya mata itu.

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Mohd Nadzri berkata mereka membuka tempahan sejak awal Ramadan, malah ada pelanggan yang membuat pesanan dua bulan sebelum itu.

“Pekerja hanya dalam kalangan keluarga yang sentiasa bertungkus-lumus menyiapkan tempahan, pesanan pernah menjangkau 10,000 biji sehari. Tempoh pembungkusan tapai agak lama, bagi satu talam yang mengandungi 2.5 kilogram adunan pulut memerlukan satu hingga satu jam setengah untuk disiapkan oleh dua orang tenaga pekerja,” jelasnya.

Mohd Nadzri kini mampu tersenyum lebar, Tapai Tok Imam yang bermula sekadar idea untuk mengubah kehidupan keluarga sudah meluaskan pasaran bukan sahaja di negeri ini malah turut terkenal di Pahang, Terengganu, Selangor, Perak dan Kedah.

“Cabaran menghasilkan tapai ini tetap ada, sebagai contoh untuk mendapatkan daun getah terpaksa memasuki hutan-hutan yang boleh mengundang risiko tinggi dan ada ketika terputus bekalan beras pulut daripada pembekal yang sedia ada, menyebabkan terpaksa menggunakan beras pulut yang mahal,” kata Mohd Nadzri. – Bernama