Tapak nuklear Korea U mula dimusnahkan

SEOUL, 15 Mei – Gambar satelit menunjukkan Korea Utara telah memulakan perobohan tapak ujian nuklearnya sebelum sidang kemuncak bersejarah di antara pemimpin Kim Jong Un dan Presiden Donald Trump, kata pengawas AS hari ini.

Dalam satu tindakan yang dialu-alukan oleh Washington dan Seoul, Korea Utara berkata pada hujung minggu ia akan memusnah ‘sepenuhnya’ tapak ujian Punggyeri, dalam satu upacara yang dijadualkan diadakan di antara 23-25 Mei di depan media asing.

Namun tidak ada pemerhati daripada agensi pengawasan nuklear antarabangsa yang telah dijemput, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai sifat keterbukaan proses itu.

Punggyeri, kawasan di timur laut negara, telah menjadi tapak kesemua enam ujian nuklear Utara, yang terbaru dan paling kuat setakat ini pada September tahun lalu, yang dikatakan oleh Pyongyang merupakan bom-H.

Korea Utara berjanji akan menutup tapak ujian selepas Kim pada bulan lalu mengisytiharkan tenaga nuklear negara selesai dan berkata kerumitan selanjutnya tidak diperlukan lagi.

Laman sesawang 38 Utara berkata hari ini gambar satelit bertarikh 7 Mei menunjukkan “bukti pertama perobohan tapak ujian telahpun dilakukan.”

Beberapa bangunan operasi utama serta bangsal lebih kecil telahpun dirobohkan dan kereta api yang menghubungkan terowong ke timbunan bahan buangan telah dialihkan, kata kumpulan pengawasan.

Kerja-kerja menggali terowong baru juga telah dihentikan sejak akhir Mac, tambahnya. – AFP