Tapak tanah bina hangar baharu diluluskan

KOTA KINABALU, 18 April – Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Sabah di Tanjung Aru di sini akan diperbesarkan selepas kerajaan negeri Sabah meluluskan tapak tanah bagi membina hangar yang baharu di pangkalan itu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Pihak Berkuasa Pembangunan Tanjung Aru yang mengurus pentadbiran tanah di kawasan itu telah diminta bertemu dengan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah untuk urusan tapak tanah itu.

Katanya ia akan diuruskan secepat mungkin bagi membolehkan kerja pembesaran PGU Sabah dapat dilaksanakan dengan segera.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada keperluan untuk meningkatkan kawalan keselamatan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Helikopter AgustaWestland (AW) 139 PGU Polis Sabah di sini, hari ini.

Menurutnya PGU Polis Sabah memainkan peranan penting kepada kawalan keselamatan di Sabah khususnya di kawasan pantai timur yang mempunyai kawasan perairan yang panjang.

Justeru, katanya penambahan helikopter AW139 ini sudah tentu akan memperkasakan lagi keupayaan pasukan keselamatan dalam menjaga negeri.

Terdahulu dalam ucapannya Mohd Shafie berkata aspek keselamatan menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan pembangunan untuk manfaat rakyat.

Katanya tiada ertinya pembangunan jika kehidupan rakyatnya tidak selamat dari ancaman anasir jahat. – Bernama

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tiga, kiri) bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (kanan) serta Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah (tiga, kanan) pada majlis serah terima Helikopter Agustawestland AW139 PDRM Kontinjen Sabah hari ini. – Bernama