Taqiuddin idam kilauan pingat

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Atlet mendaki tembok tiruan kebangsaan, Muhammad Taqiuddin Mohd Zulkifli menyasarkan catatan masa bawah tujuh saat dalam disiplin ‘speed’ untuk mencerahkan peluang merangkul pingat pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Ogos ini.

Atlet berusia 24 tahun itu yang disenaraikan dalam acara ‘combined’ optimis dengan bantuan pakar daripada Institut Sukan Negara (ISN) serta Majlis Sukan Negara (MSN), dan mengharapkan catatan terbaiknya 7.70s dapat diperbaiki dalam tempoh lebih kurang sebulan.

Beliau berkata sepanjang lapan tahun terlibat dalam sukan mendaki di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, ini kali pertama beliau didedahkan dengan kepakaran sains sukan yang ternyata memberi satu pengalaman baharu selain dapat merasai impak perubahan terhadap prestasinya.

“Saya akan berusaha keras membawa pulang pingat di Sukan Asia memandangkan prestasi saya setakat ini berada dalam keadaan baik dan saya optimis masih boleh dipertingkatkan.

“Dengan adanya bantuan daripada ISN dan MSN, sudah tentu catatan 7.70s itu dapat diperbaiki. Sejujurnya, saya belum cukup puas dengan catatan tersebut dan saya akan menggunakan segala kemudahan diberikan untuk mencapai catatan sehingga enam saat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi perjumpaan Chef-de-mission (CDM) ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi bersama Persatuan Mendaki Malaysia (PMM) di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Acara ‘combined’ mempunyai tiga disiplin – ‘boulder’, ‘lead’, dan ‘speed’, dengan setiap atlet perlu mengutip mata dalam ketiga-tiga disiplin tersebut dan atlet yang mengumpul jumlah mata tertinggi muncul sebagai pemenang.

Sementara itu, pengurus pasukan, Mohd Zaidi Kamaruddin berkata pasukan negara akan menjalani latihan intensif di Johor selain mengadakan aksi pemanas badan bersama-sama negara jiran, Singapura sebagai persediaan terakhir sebelum berlepas ke Sukan Asia. – Bernama