Tarian bantu individu kurang upaya intelek

Oleh Ak Zaki Kasharan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Sebagai salah satu daripada tanggungjawab dalam menyediakan latihan dan pertandingan sukan sepanjang tahun bagi individu kurang upaya intelek, Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) hari ini telah menganjurkan acara Cultural and Contemporary: Music and Movement ‘SOBD Can Dance!’ di Synergie Dance Studio, Kiulap.

Acara yang dikelolakan dengan kerjasama Synergie Dance Studio dan inisiatif Youth-setter Community (YSeC) dan turut dibantu oleh pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang menjalani Community Outreach Programme di SOBD itu diadakan sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2018 yang diraikan di seluruh negara, hari ini. Matlamat kerjasama itu juga adalah untuk memperkenalkan tarian sebagai salah satu sukan kompetitif bagi atlet SOBD.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.

Acara yang disasarkan kepada individu kurang upaya intelek berusia lapan tahun ke atas itu juga dirancang untuk membantu individu berkenaan untuk merealisasikan potensi mereka, memperluaskan kemahiran kendiri, sosial dan fizikal supaya dapat merasai perjalanan hidup yang sempurna, sihat dan bermakna di samping masyarakat yang lain.

Dengan latihan berterusan serta galakkan yang sempurna, mereka akan dapat manfaat dan seronok dalam pertandingan secara individu mahupun secara berkumpulan.

Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty ketika menyertai sesi pemanasan badan.

Pada masa yang sama, ia juga diadakan untuk mendapatkan sokongan ibu bapa dan penjaga agar mengetahui akan kepentingan tarian dalam membantu pertumbuhan dan stamina atlet SOBD terutama bagi mereka yang menjalankan latihan sukan kecergasan.

Dengan sokongan daripada para ibu bapa dan penjaga, acara ini membuka lebih banyak peluang bagi anak-anak mereka untuk menjalani latihan tarian dengan lebih teratur dan mendapatkan nasihat daripada jurulatih mengenai tarian dan keseimbangan pertumbuhan atlet kurang upaya intelek.

Acara dimulakan dengan ucapan Timbalan Pengerusi SOBD, Dayang Wati binti Haji Bujang diikuti dengan ucapan daripada Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty serta penyerahan sijil bagi para penaja.

Dalam ucapan oleh Timbalan Pengerusi SOBD, beliau turut mengumumkankan bahawa acara tarian akan disenaraikan sebagai salah satu sukan kompetitif selain daripada lapan sukan lainnya yang telahpun ditawarkan sejak tahun 2004 lagi seperti bocce, boling, bola sepak, golf, badminton dan bola keranjang.

Sebelum kelas berlangsung, acara pemanasan badan diserikan dengan penyertaan kanak-kanak yang berumur dua hingga tujuh tahun dan sesi kedua dibukakan kepada individu berumur lapan tahun ke atas.