Wednesday, October 5, 2022
24.9 C
Brunei

Tarian selatan Thailand ‘Nora’ terima status warisan UNESCO

-

NARATHIWAT, THAILAND – Para penari bergerak dengan lemah-lembut dalam bulatan, potongan gaun manik mereka berlenggok-lenggok ketika mereka menampilkan gaya seperti burung dalam drama tarian yang dikenali sebagai ‘nora’, seni persembahan selatan Thai yang ditambah dalam senarai warisan berprestij UNESCO pada Rabu lalu.

Bentuk seni dramatik menggabungkan tarian, nyanyian dan penceritaan yang berakar-umbi di India, dan telah diamalkan di wilayah paling selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam selama berabad-abad.

Persembahan biasanya merupakan penceritaan semula dramatik tentang kisah putera tempatan yang cuba menyelamatkan Manora, puteri separuh manusia separuh burung, yang namanya dipendekkan sempena nama seni itu. Pameran yang amat terperinci itu boleh bertahan sehingga tiga hari.

UNESCO pada hari Rabu lalu secara rasmi menyenaraikan nora sebagai ‘Warisan Budaya Tidak Ketara’ Thailand, satu langkah yang berpotensi membawa lebih banyak pengiktirafan global kepada tarian yang biasanya hanya dilihat dalam perhimpunan kecil kampung di selatan kerajaan itu.

Di daerah Sungai Padi di wilayah Narathiwat tidak jauh dari sempadan Malaysia, penari muda pada hari Sabtu lalu memakai pakaian mereka dengan berhati-hati, dengan butiran manik yang dirangkaikan dalam paparan warna dan corak kaleidoskopik. Bahagian belakang potongan pakaian mereka melayang ke atas, meniru ekor burung.

Kelihatan para penari yang mengambil bahagian dalam persembahan ‘nora’ mempersiapkan diri memakai pakaian tradisional tarian itu. – AFP
Penari mengambil bahagian dalam persembahan ‘nora’ di daerah Sungai Padi di wilayah selatan Narathiwat, sebelum UNESCO menyenaraikan secara rasmi bentuk seni itu sebagai ‘Warisan Budaya Tidak Ketara’ Thailand. – AFP

“Nora penting kepada orang selatan kerana dua sebab, pertama ia untuk hiburan… tarian itu menyampaikan mesej yang mengajar orang untuk berbuat baik untuk karma yang baik,” kata Vichien Rattanaboono, presiden kumpulan tarian wilayah itu.

“Dan kedua, mengenai upacara dan kepercayaan. Manora akan dipersembahkan semasa upacara untuk menunjukkan rasa hormat kepada guru dan ibu bapa kita. Ini untuk menandakan rasa terima kasih kita,” katanya.

Semasa kumpulan kecil memainkan gendang dan pi nai, alat seperti oboe, lima penari berpusing-pusing, pergerakan jari ekspresif mereka diserlahkan oleh hujung kuku perak mereka yang panjang.
Sekatan COVID-19 sejak 20 bulan lalu menyebabkan persembahan awam dikurangkan, kerana perhimpunan besar di kawasan panas dilarang.

“Selepas COVID-19 muncul, tiada drama… ia menyebabkan kami tidak ada persembahan,” kata Nitichaya Sooksan, 18, menambah Sabtu lalu merupakan persembahan pertama mereka sejak wabak itu bermula.

Pelajar sekolah menengah itu telah membuat persembahan selama hampir tujuh tahun, pada mulanya menyertainya bersama beberapa rakan. Penghibur nora lama Saman Dosormi yang juga pelajar siswazah seni persembahan di wilayah Yala, berkata tarian itu menunjukkan ‘budaya bersama’ wilayah selatan yang beragama Thai Buddha dan etnik Melayu Islam.

“Tidak kira sama ada awda beragama Buddha, Islam atau Kristian, sesiapa sahaja boleh mempersembahkan tarian ini,” katanya kepada AFP.

“Saya sangat gembira (mengenai penyenaraian UNESCO terhadap nora), saya ingin semua seni budaya Thai diiktiraf di mata dunia,” katanya. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

3 maut, 20 hilang bot Rohingya karam

COX’S BAZAR, BANGLADESH, 4 OKT - Tiga maut manakala hampir 20 lagi hilang selepas bot yang membawa kebanyakannya pelarian Rohingya, terbalik di Teluk Benggala...
- Advertisment -