Wednesday, April 24, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Tarian Singa tetap meriahkan TBC tahun ini

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 FEB – Masyarakat Cina di negara ini menyambut Tahun Baharu Cina (TBC), hari ini, sekali gus menandakan permulaan Tahun Harimau dalam kalender Cina.

    Untuk sambutan tahun ini, ia tetap disambut dengan meriah walaupun dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

    Seperti lazimnya, sambutan didahului dengan kunjungan ke tokong-tokong dan di Brunei, Tokong Cina yang terletak di Jalan Kianggeh di ibu negara telah menjadi tumpuan kaum Tionghua untuk melakukan upacara kesyukuran sekali gus menyaksikan acara persembahan tarian singa.

    Persembahan tarian singa yang berwarna-warni itu bermula sejak pukul 7:30 pagi yang dipersembahkan oleh pasukan tarian singa Teng Yun Chinese Temple, Sekolah Chung Hua dan Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Menengah (SM) Chung Hwa.

    Dalam kemeriahan itu, masyarakat Tionghua yang datang mengambil peluang menyaksikan persembahan itu, ada juga yang mengambil peluang memberikan sampul merah kepada kumpulan tarian singa yang dimasukkan melalui mulut maskot singa berkenaan.

    Pengunjung turut memasukan sampul merah ke dalam mulut maskot singa
    Teng Yun Chinese Temple menyampaikan sampul merah kepada SM Chung Hwa.

    Semasa acara itu, Naib Pengerusi Teng Yun Chinese Temple, Lim Ting Guan dan Bendahari Teng Yun Chinese Temple, Peng Yian Kiong menyampaikan sampul merah kepada Timbalan Lembaga Pengarah SM Chung Hwa, Lim Boon Hwa.

    Turut menyerahkan sampul merah pada acara tersebut ialah Pengerusi Persatuan Bekas Penuntut Sekolah Menengah Chung Hwa, Lim Ming Kok kepada Timbalan Pengerusi Teng Yun Chinese Temple, Tiah Eng Beng.

    Ketika ditemu bual, Tiah Eng Beng melahirkan harapan Tahun Harimau ini akan membawa keberkatan kepada semua dan semoga COVID-19 dan apa juga penyakit akan terhapus.

    Mengulas mengenai sambutan dan persembahan di tokong untuk TBC kali ini, beliau berkata, ia berbeza dari tahun sebelumnya di mana ia diadakan dalam norma baharu dengan mengehadkan jumlah kemasukan.

    “Pengehadan kemasukan ini disebabkan pengubahsuaian tokong dan bagi mematuhi garis panduan SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dalam mengawal penularan
    COVID-19,” jelasnya.

    Katanya lagi, dengan adanya persembahan tarian singa walaupun dalam suasana yang terhad, ia diharap dapat memberi peluang kepada generasi baharu untuk melihat tradisi sejak turun temurun yang dilakukan dalam menyambut TBC.

    Sementara itu, salah seorang pengunjung, Alicia yang datang bersama keluarga mengongsikan bahawa seperti lazimnya beliau dan keluarga akan berkunjung ke tokong pada pagi TBC di mana ia secara tradisi mencerminkan satu permulaan baharu dan memberi peluang untuk meninggalkan masa lalu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...