Tarif AS terhadap produk China tidak sah – WTO

GENEVA, 16 SEPT – Panel Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) memutuskan semalam bahawa tarif yang dikenakan oleh pentadbiran Trump ke atas produk China bernilai AS$200 bilion adalah tidak sah.

Keputusan itu menandakan kali pertama badan perdagangan di Geneva itu memutuskan terhadap beberapa siri tarif yang telah dikenakan oleh kerajaan Presiden Donald Trump ke atas beberapa negara. Trump berkali-kali mendakwa WTO melayan AS secara tidak adil.

Badan itu, pada teori, akan membenarkan China mengenakan tarif balas ke atas berbilion barangan AS.

Namun ia tidak mungkin memberikan kesan praktikal, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek, disebabkan AS boleh merayu keputusan itu dan mahkamah rayuan WTO tidak lagi berfungsi sekarang – sebahagian besarnya disebabkan keengganan Washington untuk menerima anggota baharu.

Dalam keputusannya, badan penyelesaian perbalahan WTO memutuskan untuk menentang hujah-hujah kerajaan AS mengatakan China telah membabitkan diri dalam kepentingan AS yang berisiko dalam isu termasuk kecurian harta intelektual dan pemindahan teknologi – dan sekali gus menerima kritikan daripada wakil perdagangan AS Robert Lighthizer.

“Laporan panel ini mengesahkan apa yang telah dikatakan oleh pentadbiran Trump selama empat tahun: WTO tidak mampu menghalang amalan teknologi China yang berisiko,” kata Lighthizer dalam satu kenyataan. Beliau berkata AS telah mengemukakan ‘bukti meluas’ tentang kecurian harta intelektual China dan WTO langsung tidak menawarkan penyelesaian.

“AS mesti dibenarkan untuk mempertahankan dirinya terhadap amalan perniagaan yang tidak adil, dan pentadbiran Trump tidak akan membenarkan China menggunakan WTO untuk mengambil kesempatan ke atas pekerja, perniagaan, petani dan pemilik ladang Amerika,” tambah beliau. Kementerian perdagangan China berkata keputusan adalah ‘objektif dan adil’ dan menggesa AS supaya menghormatinya. – AP

Presiden Donald Trump berjalan di South Lawn ketika beliau tiba di Rumah Putih di Washington dari perjalanan ke Phoenix pada 14 September 2020. – AP