Tarik brek Manzi, Fenati disingkirkan

MILAN, 11 Sept – Penunggang Moto2, Romano Fenati telah dipecat oleh pasukannya, Marinelli Snipers Team semalam kerana menarik brek pesaing dari Itali, Stefano Manzio ketika siri perlumbaan Grand Prix San Marino.

Pasukan itu berkata dalam kenyataan, mereka menamatkan kontrak Fenati “kerana tindakannya yang tidak menunjukkan semangat kesukanan, berbahaya dan berkelakuan teruk.”

Kedua-dua penunggang itu bersaing pada kelajuan tinggi sekitar litar Misano Ahad lalu apabila Fenati, 22, menunggang Kalex, berpaut dan menekan pemacu brek Manzi dan menyebabkan kehilangan keseimbangan seketika sebelum kembali mengawal motosikalnya, Suter.

“Marinelli Snipers Team menamatkan kontrak bersama penunggang Romano Fenati, bermula dari sekarang, kerana sikapnya yang tidak menunjukkan semangat kesukanan, berbahaya dan berkelakuan teruk bagi imej keseluruhannya,” tambah kenyataan.

“Dengan rasa kesal, kami perlu menyatakan bahawa tindakannya adalah tidak bertanggungjawab dan membahayakan nyawa penunggang lain serta tidak dapat dimaafkan.

Fenati kelihatan menyentuh Manzi ketika siri perlumbaan Grand Prix San Marino pada hujung minggu lalu. – AFP

“Penunggang itu, dari saat ini, tidak akan menyertai mana-mana perlumbaan bersama pasukan Marinelli Snipers.

“Pasukan, Marinelli Cucine, Rivacold dan semua penaja yang lain dan orang ramai yang selalu menyokongnya, memohon maaf kepada semua peminat World Championship.”

Tindakan Fenati itu menyusul percubaan Manzi untuk memintasnya dalam beberapa pusingan sebelumnya di mana kedua-duanya menghasilkan kontak ketika Manzi memintas di bahagian dalam, dengan kedua-dua mereka terkeluar dari litar, kehilangan beberapa kedudukan dan menjejaskan mata.

“Saya tidak tahu bagaimana saya mampu untuk bertahan,” kata Manzi.

“Ia sukar untuk memaafkan tindakan seperti itu, di mana seorang pelumba cuba untuk membunuh pesaing lain pada kelajuan 200km sejam.” – AFP