Tarik minat pelajar terhadap buku

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Dalam usaha untuk menanamkan sikap minat terhadap buku dalam kalangan komiti sekolah dan pelajar, Pusat Tingkatan Enam Meragang (PTEM) telah mengadakan Majlis Pelancaran Hari Buku dan Hak Cipta yang berlangsung di Dewan Kuliah, PTEM pagi tadi.

Hadir bagi melancarkan majlis perasmian tersebut ialah Ketua Unit Pemantauan Perpustakaan Sekolah, Jabatan Sekolah-sekolah, Hajah Sarimah binti Haji Bakir.

Pengetua PTEM, Dayang Zarina binti Haji Kadir dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis ini adalah bagi meraikan Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang pertama kali telahpun diadakan tahun lepas dengan usaha sama antara kakitangan Bahagian Perpustakaan PTEM, Jabatan Bahasa Inggeris dan Jabatan Pengajian Melayu.

Jelasnya, majlis tersebut bertujuan untuk menghargai dan menyemarakkan lagi Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia di samping memberikan peluang kepada pelajar untuk menunjukkan bakat dan keinginan yang berkaitan dengan aktiviti bahasa.

Selain itu, ia diharapkan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara Jabatan Pengajian Melayu, Jabatan Bahasa Inggeris dan ahli-ahli Perpustakaan PTEM.

Sepanjang Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta yang telah diadakan bermula pada 7 Julai sehingga hari ini, ia diisikan dengan beberapa program dan aktiviti yang telahpun dijalankan antaranya ialah sesi penulisan kreatif Bahasa Melayu dan Inggeris, sesi kongsi sama dan sesi tayangan filem yang dibawakan oleh White Screen Cinema. Sambutan itu turut diisikan dengan beberapa pertandingan seperti Pertandingan Scrabble Master, Creative Prose, Pertandingan Menulis Sajak dan Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris kali ke-3.

Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta juga turut menampilkan pameran dan jualan buku dari Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, Jabatan Muzium-muzium, Jabatan Mufti Kerajaan, Pusat Sejarah Brunei, Best Eastern Bookstore dan banyak lagi.

Majlis pagi tadi turut menyaksikan peringkat akhir Pertandingan Pidato Bahasa Inggeris ke-3, persembahan monolog dari Kelab Seni PTEM dan persembahan tarian.

Hajah Sarimah semasa merasmikan Majlis Pelancaran Hari Buku dan Hak Cipta di Dewan Kuliah, PTEM.
Antara yang hadir pada Majlis Pelancaran Hari Buku dan Hak Cipta di Dewan Kuliah, PTEM.
Dayang Zarina semasa menyam-paikan ucapan pada majlis itu.