Tarik minat terhadap alam semula jadi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Jabatan Muzium-muzium hari ini, telah mengungkayahkan perkongsian maklumat dan ilmu secara dalam talian yang diberi tajuk Museum Series.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Muzium, Dayang Nor Masitirena binti Haji Suhaini turut mengalu-alukan kehadiran semua dalam menjayakan Museum Series.

Museum Series pertama itu telah dihadiri oleh lebih 380 orang daripada pelbagai latar belakang dan usia untuk mendengarkan taklimat bertajuk Unexpected Discoveries in the Wilderness of Brunei Rainforest yang disampaikan oleh Awang Eyad Samhan bin Nyawa, penerima Anugerah Bio-diversity Heroes 2017 sempena ulang tahun ke-50 ASEAN.

Antara yang disampaikan dalam sesi berkenaan adalah tatacara mengadakan ekspedisi ke dalam hutan dan menunjukkan kepelbagaian biodiversiti yang dijumpai di Negara Brunei
Darussalam seperti bay cat, sun bear dan pheasant.

Para peserta berharap lebih banyak perkongsian seumpamanya diadakan khususnya untuk menarik minat generasi muda agar berkecimpung dan membuat kajian dalam pelbagai subjek menarik di negara ini.

Pada masa yang sama, usaha yang padu diperlukan untuk sama-sama menjaga dan melindungi warisan negara.

Sesi sejam itu diakhiri dengan sesi soal jawab khususnya yang ingin mengetahui tentang keunikan alam semula jadi di Negara Brunei Darussalam.

Awang Eyad Samhan menunjukkan kepelbagaian biodiversiti yang dijumpai dalam hutan di negara ini. – Gambar serahan Jabatan Muzium-muzium