Tarikan pulau-pulau dalam negara diketengahkan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Dengan hasrat untuk mempromosikan keindahan perairan Sungai Brunei yang mempunyai khazanah pulau-pulau penuh bersejarah, Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) menawarkan pakej lawatan pelancongan destinasi dalam negara terbaharu iaitu ‘Brunei Tour Island Discovery Familiarisation Trip’ yang telah bermula 26 Julai lalu.

Sehubungan itu, lebih 10 orang pengamal media tempatan telah berpeluang merasai pengalaman detik-detik keindahan menyelusuri Sungai Brunei, hari ini, yang turut disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan DHSB.

Destinasi pelancongan yang lebih berkonsepkan Kenali Negara Kitani itu sememangnya menyediakan aktiviti menarik menerusi sesi pengembaraan ke pulau-pulau di perairan Sungai Brunei dengan unsur-unsur pengetahuan sejarah dan budaya yang sememangnya begitu penting untuk diketahui oleh para generasi penerus bangsa.

Dengan menaiki bot laju, setiap perjalanan yang diadakan pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad dengan dua sesi pilihan iaitu 9 pagi dan 2 petang akan mengambil masa selama tiga jam.
Pengunjung berpeluang menyaksikan tujuh buah pulau dan beberapa destinasi yang menyimpan nilai sejarah serta legenda antaranya Pulau Keingaran, Pulau Chermin, Pulau Baru-Baru, Pulau Berambang, Lumut Lunting dan Jong Batu.

Pakej berkenaan ditawarkan kepada semua lapisan masyarakat termasuklah para pengunjung secara berkumpulan dan ahli-ahli keluarga ketika mengisi masa lapang musim cuti dan juga aktiviti sampingan semasa mengadakan perbincangan, persidangan dan juga pameran yang sekali gus pastinya mampu merakamkan pengalaman manis yang tidak terhingga.

Di samping itu, pakej destinasi berkenaan juga termasuk hidangan ringan berkonsepkan masakan masyarakat Brunei di salah sebuah restoran tempatan di sekitar Kampong Ayer.

Keindahan sungai dan pulau-pulau di negara ini diketengahkan kepada pengamal media ketika tinjauan itu.