Tarikan si ikan kerapu

Bagi pemancing tegar, sudah tentu menyasarkan ikan yang ingin diperolehi.

Hal ini kerana sesetengah kaki pancing ingin merasakan perasaan ketika bertarung untuk menaikkan setiap ikan yang memiliki pelbagai kekuatan dan cara melawan.

Justeru, menerusi pengalaman itu sedikit sebanyak dapat menambah ilmu pancing selain dikongsikan bersama rakan atau keluarga. Tidak mengira jenis ikan air tawar atau air masin, pengalaman itu amat beerti bagi kaki pancing. Namun, rata-rata kaki pancing lebih mengharapkan pengalaman memancing ikan air masin.

Ikan kerapu (groupers) merupakan antara ikan air masin yang sering menjadi kegemaran landbase caster. Antara faktor yang menjadi tarikan utama ikan kerapu ini adalah rasanya yang sedap dan juga mempunyai permintaan dan harganya yang tinggi.

Sehinggakan ada pemancing sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk pergi ke tengah lautan bagi merasai tarikan rakus ikan pemangsa ini.

Kebiasaannya ikan ini mempunyai saiz mulut agak besar, bintik di badan (corak bergantung pada jenis kerapu) dan berbadan gempal. Ikan ini merupakan jenis pemangsa dan bergerak secara kumpulan. Cara ikan ini memakan mangsa adalah dengan menyedut atau menelan mangsa berhampiran.

Kawasan berstruktur seperti batu, tambak atau tembok laut, tompokkan pohon-pohon dan juga tukun laut pula merupakan ‘spot’ kegemaran ikan ini. Sama seperti siakap, kerapu memilih kawasan ini sebagai kawasan menyerang hendap pemakanannya seperti udang, sotong, anak ikan dan ketam kecil. Selain menjadikan kawasan tersebut sebagai kediaman, kerapu akan meluru masuk ke kawasan tersebut apabila terasa diancam dan bersembunyi.

Oleh itu, bagi kaki pancing yang ingin menangkap ikan kerapu ini perlu memastikan gewang dihantar ke kawasan ‘rumahnya’ bagi menggoda ke-rapu untuk membaham gewang.

Anda harus memastikan alat pancing mampu menahan kekuatan dan asakan kerapu. Antara peralatan yang perlu diberi perhatian ialah joran, tali utama dan tali leader. Hal ini kerana kerapu akan melarikan gewang ke ‘rumahnya’ dan berkemungkinan tali akan bergesel pada batu-batu yang boleh menyebabkan tali utama akan putus.

Bagi pengemar teknik memancing Ultra Light, pastinya ikan ini akan membuatkan drag reel berbunyi walaupun bersaiz kecil. Ini adalah berikutan sifat ikan kerapu yang agresif akan membuatkan anda tertagih untuk mencuba berulang kali.

Bagi pemilihan umpan pula, terdapat pelbagai pilihan seperti hard lure dan softlure. Bagi hard lure, dicadangkan anda mencuba jenis crank dan bagi penggemar softplastic (SP), padankan SP dengan jig head yang sedikit berat supaya ia tenggelam ke dasar dan menggetuk batu-batu yang selalunya menjadi lubuk ikan kerapu.

Ikan kerapu antara ikan air masin yang sering menjadi kegemaran landbase caster. – Agensi