Tarikh baharu Piala Suzuki AFF 11 April-8 Mei

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Pasukan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam kini menyasarkan kemenangan dalam pertandingan serantau yang bakal disertai mereka selepas tarikh baharu untuk Piala Suzuki Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang bermula pada 11 April hingga 8 Mei 2021 telah diumumkan hari ini.

Menurut AFF, keputusan terbaharu itu diambil bagi menganjurkan kejohanan dalam format penuh, dimainkan secara dalam dan luar negara di seluruh negara yang layak di Asia Tenggara.

Kejohanan dwitahunan itu pada asalnya dijadualkan bermula pada 23 November hingga 31 Disember tahun ini tetapi pihak penganjur telah memutuskan untuk menangguhkan perlawanan tersebut berikutan dengan penularan pandemik COVID-19.

Pasukan petugas AFF memberitahu tarikh baharu yang ditentukan itu merupakan tarikh yang paling sesuai untuk memenuhi jadual bola sepak domestik selepas mengadakan rundingan dengan persekutuan bola sepak wilayah dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.

AFF menambah bahawa mereka akan terus memantau situasi dengan teliti untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pemain, jurulatih, peminat dan orang ramai menjadi keutamaan.

Para pemain ketika giat melakukan latihan sebelum ini. – Gambar serahan NFABD

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata, “Kami gembira dengan sokongan positif yang kami dapat daripada Persatuan Anggota kami dan kami dapat mencari tarikh yang sesuai tahun hadapan untuk kejohanan yang paling dinantikan ini.

“Walaupun kami menyedari bahawa perang melawan pandemik global ini belum berakhir, tetapi kami tetap berwaspada dan optimis agar Piala Suzuki AFF 2020 berlangsung dalam format penuh dan berharap dapat memberikan yang terbaik dalam kejohanan berkenaan,” jelasnya.

“AFF dan Persatuan Anggota kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat, pemain, jurulatih, pegawai, media dan rakan-rakan kami yang lain atas sokongan dan komitmen mereka yang tidak putus-putus walaupun menghadapi masa-masa yang mencabar, dan menantikan Piala Suzuki AFF menyatukan seluruh Asia Tenggara apabila kita dapat bersatu kembali,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Tenggara di SPORT FIVE Malcolm Thorpe berkata “Kami gembira mendapat tarikh kejohanan baharu bagi Piala Suzuki AFF 2020 dan sangat gembira untuk terus bekerjasama dengan rakan kongsi kami bagi tajaan mereka, kempen dan rancangan pengaktifan ketika kita bersiap sedia untuk mengembalikan bola sepak untuk peminat di ASEAN. “