Tarikh luput

Setiap produk yang dihasilkan sama ada produk makanan ataupun penjagaan diri seperti sabun dan ubat gigi perlu diletakkan tarikh luput.

Ini bagi membolehkan individu yang menggunakan sesuatu produk menjadikannya sebagai peringatan untuk tidak menggunakannya melebihi tarikh yang tertera agar tidak memudaratkan diri.

Namun begitu, seorang lelaki dari Maryland, Amerika Syarikat baru-baru ini menguji adakah tarikh luput pada makanan benar-benar memberi kemudaratan kepada kesihatan manusia?

Dia menjalankan eksperimen itu bersama isterinya.

Scott Nash memakan makanan tamat tempoh bagi membuktikan bahawa ia sebenarnya tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Jelasnya, dia mendapat idea untuk menjalankan eksperimen tersebut tiga tahun lalu.

“Saya mempunyai sebuah kabin dan berada di dalamnya pada musim panas. Saya tidak lagi kembali ke kabin itu sehingga musim luruh. Selepas itu saya mahu makan secawan yogurt. Terdapat yogurt di sana (kabin). Saya bukanya dan ia kelihatan baik. Saya kemudian mencampurkannya dengan buah-buahan lain dan semuanya berjalan dengan baik (tidak rasa sakit perut selepas memakan yogurt tamat tarikh luput),” katanya yang merupakan pengasas Mom’s Organic Market.

Tidak berasa pelik

Nash juga memeriksa keadaan seperti bau, warna dan rasa yogurt itu yang masih elok, sebelum mencampurkannya dengan beberapa jenis buah-buahan lain.

Tambahnya, yogurt tersebut tidak sedikit pun berasa pelik, malah dia juga tidak berdepan sebarang komplikasi kesihatan selepas itu.

Selepas berbuat demikian, dia mula terfikir bagaimana dan kaedah apa yang digunakan oleh syarikat makanan dalam menentukan tarikh luput pada sesuatu produk.

Dia mula meragui kaedah syarikat-syarikat begini meletakkan tarikh luput.

“Ia seolah-olah tidak konsisten kerana ada produk yang dilabel dengan baik, ada yang dilabel dengan tarikh luput,” tuturnya seperti dipetik portal Oddity Central.

Menurut Nash lagi, beberapa produk lain seperti garam, makanan dalam tin, sabun, ubat gigi, syampu dan juga tisu lembap anak damit pula sebenarnya tidak memerlukan tarikh luput.

Dalam eksperimen yang dilakukan itu, Nash dan isterinya makan pelbagai jenis makanan yang sudah melebihi tarikh luput.

Antaranya termasuk daging yang sudah tamat tempoh selama beberapa minggu dan juga makanan kering seperti tortilla yang tamat tempoh selama tujuh bulan. – Agensi

Sebahagian makanan yang sudah luput tarikhnya masih boleh dimakan.- Agensi