KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Tarikh perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadapi tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil aktiviti haram, tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd ditetapkan pada Jumaat ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga menetapkan tarikh sama untuk mendengar permohonan Najib bagi mendapat perintah larangan terhadap media daripada menerbitkan perbincangan berkaitan merit dan pertuduhan yang dihadapinya sebelum perbicaraan bermula.
Mohd Nazlan juga melanjutkan perintah larangan sementara yang diperoleh Najib semasa prosiding kes beliau pada 4 Julai lalu sehingga Jumaat ini.
Terdahulu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan pindaan iaitu pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa selepas pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pindaan hari ini.
Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa sebagai ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan kapasiti yang diamanahkan dengan kawalan dana milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah melibatkan sejumlah RM27 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank antara 24 Disember dan 29 Disember 2014, dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan sebatan dan juga denda jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai ejen, yang merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mengawal dana SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah melibatkan RM5 juta di tempat sama dan pada masa yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai ejen yang merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang diamanahkan dengan dana milik SRC sebanyak RM4 bilion, melakukan pecah amanah melibatkan RM10 juta di tempat yang sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, berdasarkan seksyen Kanun Keseksaan yang sama.
Dan pertuduhan keempat, Najib didakwa sebagai pegawai awam, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, telah menggunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah melibatkan RM42 juta apabila terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberi jaminan kerajaan untuk pinjaman daripada Dana Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.
Dia didakwa melakukan kesalahan rasuah itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.
Najib didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (“Rentas”) dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya.
Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015. Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama. – Bernama