Tarikh slot dos kedua diawalkan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Sebanyak 13,089 slot suntikan dos kedua telah diawalkan tarikh perjanjiannya daripada jadual asal yang diberikan sebelumnya, susulan makluman mengenai penangguhan pemberian dos pertama vaksin baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara tersebut pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Oleh itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk memeriksa tempahan slot vaksinasi mereka melalui aplikasi BruHealth sekiranya ada perubahan tarikh seperti diawalkan dari jadual asal,” kata Yang Berhormat Dato lagi.

Terdahulu beliau turut mengongsikan setakat ini jumlah pemberian vaksinasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam adalah sebanyak 338,399 dos.

“Ini bermakna 51.5 peratus penduduk di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 manakala sebanyak 23.2 peratus lagi mereka yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 yang lengkap,” kongsinya.

“Dalam kita memainkan peranan masing-masing untuk mengawal penularan jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, marilah kita sama-sama memohon pertolongan dari Allah SWT agar apa jua yang kitani rancang dan laksanakan akan mendapat keredaanNya jua. Amin.”

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham ketika mengongsikan mengenai perubahan tarikh asal suntikan dos kedua.