Tartan Ukraine kembali popular di Scotland

KEITH, UNITED KINGDOM – Di sebuah bengkel kain tartan di timur laut Scotland, mesin-mesin menguraikan corak fabrik silang-menyilang dalam warna hijau, merah, hitam, biru dan putih.

Namun satu corak berpetak-petak di kilang gergasi Macnaughton Holding di Keith yang menonjol disebabkan warnanya yang luar biasa dan unik, iaitu kuning dan nilakandi.

Untuk beberapa minggu sekarang, syarikat Great Scot, pelanggan firma, telah menenun ‘Tartan Ukraine,’ untuk mengumpul dana bagi mangsa peperangan.

“Kami melihat apa yang sedang berlaku dalam berita dan seperti kebanyakan orang, kami berasa terkejut,” kata Patrick Lewtas, ketua bahagian operasi di Great Scot.

“Kami fikir, apa yang dapat kami lakukan? Kami boleh melakukan sesuatu untuk mengumpul wang dan memberikannya kepada badan kebajikan. Marilah kami mereka bentuk kain tartan,” beritahunya kepada AFP.

Seorang pekerja menghasilkan fabrik tartan di kilang Great Scot di Keith, Scotland. – AFP

Seorang pekerja memakai kaca mata khas ketika menjahit tartan di syarikat tekstil Great Scot di Keith, Scotland. – AFP

“Kami menerima banyak respons amat menggalakkan daripada semua orang di seluruh dunia.”

Corak tartan berkenaan merujuk kepada corak jalur bercantum yang terdiri daripada dua atau lebih warna yang menganjur secara mendatar dan menegak menerusi kain.

Ia merupakan fabrik kebangsaan Scotland dalam warna-warna berlainan, terutamanya pada kain kilt, telah lama dikenal pasti dengan kawasan Scotland dan puak Highland.

Pernah diharamkan pada abad ke-18, corak tersebut telah dipopularkan sejak itu sebagai ikon fesyen dan politik di Scotland dan di seluruh dunia.

Apabila kain tartan Ukraine pertama dilancarkan di laman Facebook Great Scot, ia dikongsi sebanyak 10,000 kali, menerima hampir 140,000 like dan lebih daripada 2,700 komen.

Kementerian luar negeri Ukraine juga memuji inisiatif itu di akaun Twitternya.

Fabrik lebih 3.2 kilometer panjang itu telah pun dijual, dengan permintaan yang kukuh datang dari Amerika Syarikat serta daripada ekspatriat Ukraine.

Corak berkenaan kini dimasukkan dalam Daftar Tartan Scotland, dan setiap jualan melihat sumbangan derma kepada Rayuan Kemanusiaan Ukraine Jawatankuasa Kecemasan Bencana UK.

“Pada akhirnya, kami berhasrat mengumpul lebih daripada AS$50,000 atau AS$63,000,” kata pengasas Great Scot Margo Page, memakai jaket tartan merah dengan tali pinggang.

“Kami belum mencapai sasaran namun orang ramai asyik meminta kami meneruskan tenunan.”

Kepada mereka yang menuduhnya mengaut keuntungan daripada peperangan untuk merangsang jualan, Page berkata dia telah memilih kilang bebas dan dikendalikan oleh keluarga untuk menghasilkan kain tartan tersebut.

“Kami boleh mengaut keuntungan daripada banyak perkara. Keseluruhan asas Great Scot adalah mengenai mengusahakan kain di kilang artisan milik keluarga UK,” katanya.

“Ia adalah mengenai mengekalkan tradisi penghasilan kain tartan berkenaan.”

Beliau menambah: “Kami bukan jenis yang paling komersial dengan memilih kilang tradisional berkenaan. Kunci kira-kira kami membuktikan kami tidak memperoleh banyak keuntungan daripada pembuatan kain tartan ini.”

Menghasilkan kain tartan Ukraine juga mengalami risiko kewangan: wang terpaksa dikeluarkan terlebih dahulu untuk benang yan, pewarna dan pengeluaran.

Kini Page berkata impiannya adalah ‘menghasilkan kain kilt untuk Volodymyr Zelensky, presiden Ukraine. Euan Dalgliesh, penolong pengurus di kilang Keith, berkata: “Kami berasa bangga menenun fabrik kebangsaan kami.

“Jika ia dapat membantu orang lain, baguslah. Kami sentiasa terkejut dengan permintaan terhadap tartan. Generasi demi generasi, kami telah menenun kain tartan.

“Namun awda memikirkan awda sentiasa berada di kemuncak tetapi permintaan datang secara berterusan.

“Kami berasa amat bangga dengan sejarah kami dan warga Ukraine bangga dengan sejarah mereka.” – AFP