Tasha Shilla ikut suami pulang ke Singapura

Dengan sekali lafaz, pelakon, Tasha Shilla sah bergelar isteri kepada Muhammad Atiq Idris pada majlis ringkas diadakan di Masjid Wilayah, pada Jumaat lalu.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Abdul Razak Razali dan disaksikan Imam Besar masjid berkenaan, Tuan Haji Ehsan Mohd Hosni.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM800 dan sebentuk cincin. Tiada dulang hantaran diserahkan kedua-dua pihak. Manakala, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Anggun mengenakan persalinan rona putih rekaan Hatta Dolmat, Tasha atau nama sebenarnya, Nastashashila Abdul Razak bersyukur perancangan sejak beberapa bulan lalu berjalan lancar.

“Semuanya berlaku begitu pantas. Alhamdulillah, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan.

Tasha Shilla akan berpindah ke Singapura mengikuti suaminya selepas selesai majlis bertandang. – Agensi

“Saya percaya ada hikmah di sebalik segala-galanya. Saya akan tinggal di Singapura mengikuti suami, selepas selesai majlis bertandang.

“Saya bersyukur bertemu jodoh dengan lelaki yang dicintai, biarpun semuanya berlaku begitu pantas.

“Semoga fasa baharu dalam kehidupan ini terus mematangkan saya dan suami. Insya-Allah,” katanya.

Pasangan sebaya berusia 33 tahun itu diperkenalkan seorang teman. Mereka berkenalan pada Disember lalu dan mengikat pertunangan pada 23 Februari lalu. “Perkenalan bermula di sebuah acara amal di Masjid Wilayah. Tanpa diduga berputik rasa sayang dan cinta.

“Tak sangka segala perancangan dipermudahkan.

“Saya percaya inilah jodoh yang diaturkan Yang Maha Esa,” katanya kepada media.

Tasha berkata, dia tenang dan bahagia ketika berada di sisi Atiq.

“Saya percaya inilah cinta sejati yang dicari-cari selama ini,” katanya.

Sementara itu, Atiq yang bekerja dalam bidang kewangan di Singapura mengakui menyenangi sifat Tasha.

“Meskipun luaran Tasha nampak garang, dia sebenarnya baik, lembut, menyayangi keluarga, suka kanak kanak dan menjaga solat. Saya tidak akan menghalang Tasha meneruskan kerjaya sebagai pelakon. Cuma, saya berharap dia akan menjaga adab dan solat,” katanya.

Majlis resepsi pertama akan berlangsung petang ini, manakala bertandang minggu hadapan. – Agensi