Tasha Shilla mahu berubah jadi lebih baik

Dikenali dengan imej seksi, pelakon Tasha Shilla kini dilihat berpenampilan sopan selepas mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Atiq Idris pada Februari lalu.

Tasha atau nama sebenarnya Natasha Sheila Abdul Razak, 33, berkata sebagai seorang manusia dia sentiasa cuba untuk berubah menjadi lebih baik.

“Setiap manusia sentiasa cuba untuk berubah ke arah yang lebih baik. Begitu juga dengan saya.

“Suami tak pernah meletakkan apa-apa syarat pun dalam berpakaian. Dia faham yang saya cukup matang untuk buat keputusan sendiri,” katanya kepada mStar.

Bercerita tentang kehidupan selepas berkahwin, pelakon drama Kamar Kamariah ini mengaku kehidupannya berubah menjadi lebih bermakna dan bahagia.

Tasha Shilla sentiasa cuba untuk berubah menjadi lebih baik dan dia turut meminta supaya peminat mendoakan agar dia dikurniakan zuriat secepat mungkin. – Agensi

Tambahnya, dia dan suami banyak berkongsi cerita dan melakukan aktiviti bersama selain menjalankan tanggungjawabnya masing-masing.

“Syukur Alhamdulillah, lepas kahwin saya rasa lebih bahagia berada di samping suami.

“Kami banyak berkongsi cerita bersama, lakukan aktiviti bersama, semuanya bersama.

“Sebelum kahwin, saya hanya fikirkan diri saya dan keluarga sahaja, tetapi sekarang saya juga kena fikirkan tentang makan dan pakaian untuk suami juga,” ujarnya.

Bagaimanapun, apabila ditanya tentang bila untuk menerima kehadiran cahaya mata, Tasha hanya berserah pada perancangan Allah SWT.

Walaupun dia dan suami sudah bersedia untuk bergelar ibu bapa, Tasha berharap peminat dapat mendoakan agar mereka dikurniakan zuriat secepat mungkin.

Tasha dan Atiq, selamat diijab kabul pada 28 Februari lalu dalam satu majlis sederhana yang diadakan di Majlis Wilayah Kuala Lumpur. – Agensi