Saturday, September 23, 2023
30 C
Brunei

    -

    Tasik kering-kontang, haiwan terjejas kemarau di Turkiye

    VAN, TURKIYE – Penggembala Ibrahim Koc mengimbau kembali kegembiraan zaman mudanya sambil ternakannya meragut rumput di padang tandus, yang dahulunya subur dengan tumbuh-tumbuhan di pinggir tasik terbesar di Turkiye.

    Semak-semak yang jarang menandakan Tasik Van telah mengalami pengeringan selama bertahun-tahun akibat pemanasan global dan kemarau.

    “Haiwan-haiwan dahaga,” keluh lelaki berusia 65 tahun itu.

    “Tiada air,” kata Koc, menyuarakan sentimen yang semakin banyak diluahkan oleh rakyat Turkiye yang menyaksikan gunung mereka kehilangan lapisan ais dan empangan air mengering.

    Peta cuaca Turkiye kuasa pertanian yang terbentang dari Bulgaria di barat hingga Iran di timur menunjukkan sebahagian besar negara itu mengalami kemarau yang berpanjangan.

    Ali Kalcik memegang burung camar yang mati kebuluran. – Gambar AFP
    Kinyas Gezer berdiri di sebelah aprikot yang layu kerana musim kemarau. – Gambar AFP
    Ali Kalcik menunjukkan tulang burung yang mati kelaparan. – Gambar AFP
    Ali Kalcik berdiri di tebing kering Tasik Van. – Gambar AFP
    Kinyas Gezer memegang daun kering akibat musim kemarau melanda kawasan itu. – Gambar AFP

    Garis pantai yang semakin mengecil menampakkan dasar tasik yang mencemarkan udara dengan debu masin. Para saintis bimbang masalah itu akan menjadi lebih buruk.

    “Saya fikir ini adalah hari baik kita,” kata Faruk Alaeddinoglu, seorang Profesor di Universiti Van Yuzuncu Yil, kepada AFP.

    “Kita akan menyaksikan tasik itu terus menyusut dalam beberapa tahun akan datang.”
    Tasik Van meliputi kira-kira 3,700 kilometer persegi, dengan kedalaman maksimum 450 meter.

    Kawasan permukaannya telah menyusut sekitar 1.5 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini, berdasarkan ukuran yang dijalankan oleh Alaeddinoglu pada musim luruh lalu.

    “Itu adalah jumlah air yang sangat banyak untuk kawasan 3,700 kilometer persegi itu,” katanya.

    Di kawasan Celebibagi di pantai utara tasik, air telah surut sekitar empat kilometer.
    Perjalanan sepanjang dasar tasik yang terdedah dipenuhi dengan tulang burung, semak berbatu dan tanah kering yang dilapisi dengan natrium dan mineral-mineral lain.

    “Kita berjalan di kawasan yang pernah diliputi air tasik,” kata Ali Kalcik, seorang pencinta alam sekitar tempatan.

    “Sekarang, ia adalah tanah tandus tanpa kehidupan.”

    Pemandangan burung flamingo yang mempesona menari di udara dengan latar belakang pergunungan menandakan titik awal tasik bermula.

    Alaeddinoglu berkata dahulu saiz tasik itu telah berubah disebabkan oleh rekahan dalam plat tektonik yang menjadikan Turkiye antara zon gempa bumi paling aktif di dunia.

    Tetapi dia menyalahkan kehilangan air yang berterusan atas peningkatan suhu yang mengakibatkan “hujan yang kurang dan penyejatan berlebihan.”

    Hampir tiga kali ganda air tasik itu tersejat berbanding turun dalam bentuk hujan, kata Alaeddinoglu.

    Taman-taman subur di kotej rumah musim panas yang baru dibina juga menyusutkan air dari kawasan itu, di mana Presiden Recep Tayyip Erdogan telah membina sebuah tempat persinggahan kerajaan.

    Masalah itu menjadi teruk sehingga pihak berkuasa menggesa petani tempatan supaya tidak menanam tanaman yang memerlukan terlalu banyak air.

    Ini bermakna petani, Kinyas Gezer tidak lagi mampu menanam bit gula, yang merupakan tanaman yang sangat memerlukan air.

    “Semua usaha saya telah sia-sia,” keluh lelaki berusia 56 tahun itu, merujuk kepada pokok aprikot yang kering.

    “Jika berterusan begini, kami akan mengabaikan pertanian. Perniagaan semakin tenat.”
    Kehilangan air juga membawa kepada pencemaran, kata Orhan Deniz, seorang profesor di Universiti Yuzuncu Yil, yang kampusnya terletak di tepi tasik.

    “Kawasan-kawasan besar berlumpur yang bercampur dengan lendir mengeluarkan bau yang busuk dan menjadikan pencemaran manusia lebih jelas,” katanya.

    “Pada tahun 1990an, kami berenang semasa waktu rehat kemudian kembali ke universiti,” katanya, memandang tasik dari pejabatnya.

    “Sekarang ini agak mustahil untuk melangkah ke dalam air, apalagi berenang di dalamnya,” katanya.

    Tasik itu masih disukai oleh pelancong dan sesetengah penduduk tempatan berenang di sepanjang bahagian yang lebih bersih dan indah pemandangannya.

    Gabenor Van Ozan Balci berkata pejabatnya telah menghabiskan AS$3 juta untuk membersihkan tasik.

    “Kami sedang mengusahakan yang terbaik untuk melindungi tasik itu kerana warisan budayanya dan kenangan kepada ramai orang,” katanya kepada AFP. Di kampung pinggir pantai Adir, sesetengah penduduk tempatan berenang dan yang lain berkelah di bawah pokok.

    Namun bangkai burung camar mati tidak jauh daripada pelancong mendedahkan masalah ekologi yang dihadapi tasik itu.

    Para pakar berkata ikan mullet mutiara yang membentuk dasar makanan camar itu, berhijrah awal tahun ini kerana kemarau.

    Kerana kekurangan makanan, burung camar itu mati kelaparan, manakala yang lain punya masa seminggu lagi sebelum mati, kata penduduk tempatan, Necmettin Nebioglu, 64.

    “Pada masa dahulu, camar akan mengikuti kami semasa kami berenang. Sekarang lihat, itu adalah pembunuhan besar-besaran burung itu,” katanya, menunjuk ke arah timbunan bangkai di pantai. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...