Taskforce ditubuh urus SKN

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Dalam usaha memberikan bantuan lebih telus, jelas serta memastikan tiada ketirisan dan keciciran dalam bantuan-bantuan yang disalurkan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) berperanan sebagai custodian dan diamanahkan untuk melaksanakan pengendaliannya melalui Skim Kebajikan Negara (SKN).

Sehubungan dengan itu, sebuah pasukan tugas khas (taskforce) akan ditubuhkan yang akan bertanggungjawab mengurus tadbir permohonan, mengumpul semak (collate), dan memastikan data dan maklumat yang dimasukkan ke dalam sistem tepat dan betul, menyalurkan permohonan kepada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) atau kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) untuk dibuat penilaian dan keputusan serta memantau perkembangan dan keputusan permohonan.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Kebudyaaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurut beliau, taskforce berkenaan juga berperanan membuat penganalisaan dan penyediaan laporan bulanan secara berterusan.

“SKN akan berupaya memberikan gambaran menyeluruh dan komprehensif mengenai ekosistem bantuan di negara ini, terdiri daripada profil demografi dan latar belakang pemohon termasuk ahli keluarga dan jenis bantuan yang dapat disalurkan, sekali gus menghasilkan peta penerima bantuan yang akan membolehkan penganalisaan dan intervensi bersesuaian, termasuk menangani masalah pengangguran, mendapatkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran kepada para pemohon dan tanggungan ke arah memastikan kitaran kemiskinan atau jurang kemiskinan dapat diputuskan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa sidang media di Kementerian Kesihatan. kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan

Beliau turut mengongsikan jumlah terkini penerima bantuan kebajikan bulanan melalui JAPEM ialah seramai 5,678 ketua keluarga, manakala penerima asnaf dan fakir miskin melalui MUIB sebanyak 3,773 ketua keluarga yang membawa jumlah keseluruhan bantuan bulanan kepada 9,451 ketua keluarga.

Yang Berhormat Menteri Kebu-dayaan, Belia dan Sukan juga memaklumkan ada perubahan dari aspek perkiraan garis kelayakan bagi pemohon bantuan melalui JAPEM yang akan disejajarkan dengan Kos Minimum Keperluan Asas (KMKA) menggunakan Organisation for Economic Cooperation and Modified Scale (OECD) seperti yang dimaklumkan oleh Yang Berhor-mat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua dan turut menyeru kesemua penerima ini untuk mengemaskinikan profil masing-masing ke dalam SKN bermula hari ini dengan menghadapkan dokumen-dokumen yang diperlukan kepada JAPEM.

Menurutnya lagi, mulai 15 Julai 2020, pendaftaran dan permohonan bantuan bagi pemohon baharu serta pengemaskinian profil oleh penerima bantuan yang sedia ada akan dapat dibuat secara dalam talian, tambahnya.

Permohonan melalui SKN ini akan dibukakan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam bagi Skim Bantuan Kebajikan Bulanan dikendalikan JAPEM di KKBS dan Skim Bantuan Asnaf Fakir dan Miskin di bawah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Permohonan bagi bantuan-bantuan lain seperti pencen umur tua, elaun kurang upaya, catuan makanan, bantuan membaik pulih rumah ataupun permohonan rumah dan pusat penempatan sementara, masih lagi menggunakan tatacara sebelum ini dan hanya akan dibuat melalui SKN pada fasa seterusnya, kata Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Menyentuh mengenai kriteria kelayakan bagi permohonan di JAPEM dan MUIB pula, ia masih tidak berubah bagi penganut Islam yang boleh memilih mendapatkan bantuan daripada salah satu daripadanya manakala bagi yang bukan beragama Islam, akan diproses oleh JAPEM mengikut garis pandu yang sedia ada.

Bagi permohonan melalui SKN, pemohon dikehendaki mengikut tatacara seperti mempunyai akaun e-mel sah bagi membuat pendaftaran yang juga akan digunakan sebagai pengesahan penerimaan pendaftaran akaun SKN.

Menurut beliau lagi, pemohon hendaklah menyertakan dan melengkapkan dokumen-dokumen peribadi dengan memuat naik imbasan kad pintar, sijil kelahiran anak-anak, sijil perkahwinan atau cerai, penyata gaji pemohon dan maklumat lengkap keluarga di bawah tanggungannya serta borang pengesahan ketua kampung.

Pada sidang media itu, video tutorial tatacara pendaftaran dan permohonan ke SKN turut ditayangkan.

Bagi penerima BKB yang sudah berdaftar dengan JAPEM dan penerima agihan wang zakat dari MUIB, beliau menerangkan bahawa mereka akan menerima pesanan ringkas atau SMS yang mengandungi pautan ke laman sesawang SKN bagi membolehkan mereka mendaftar dan menggunakan sistem berkenaan.

Bagi sebarang permasalahan mengenai bantuan kebajikan, talian hotline 141 boleh dihubungi untuk mereka yang menghadapi masalah seperti tidak menerima SMS daripada SKN dan permasalahan lain yang timbul bermula 23 Jun ini.

Manakala bagi pemohon yang tidak mempunyai akses kepada komputer atau telefon bimbit, mereka boleh mendaftar di kesemua cawangan JAPEM berdekatan manakala ketua-ketua kampung juga boleh membantu pemohon membuat pendaftaran.

Untuk maklumat lanjut bolehlah menghubungi Talian Bantuan Kebajikan 141 JAPEM yang akan beroperasi 24 jam bermula 23 Jun.