Tatacara kawalan kesihatan akan terus diikuti

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Negara Brunei Darussalam membuka semula masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara mulai 29 Mei lalu untuk menunaikan solat fardu Jumaat setelah ditutup sementara pada 20 Mac sehingga 22 Mei yang merangkumi 10 kali Jumaat.

Pembukaannya dapat dijayakan dengan penggunaan aplikasi BruHealth yang diwajibkan kepada Muslimin untuk memasuki masjid, surau dan balai ibadat bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku sebarang jangkitan berikutan perhimpunan ramai semasa sembahyang Fardu Jumaat dalam suatu tempoh pada tahap-tahap yang dirancang oleh pihak berkuasa kesihatan.

Sehubungan itu, penyelenggaraan kemasukan ke masjid, surau dan balai ibadat mengikut tatacara kawalan kesihatan bagi menghindari penularan jangkitan COVID-19 secara meluas dalam kalangan masyarakat atau community spread akan diteruskan lagi.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menekankan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin, langkah pembukaan semula pada Jumaat lalu adalah tahap pertama de-escalation atau pengurangan langkah-langkah pengawalan COVID-19 di negara ini bagi masjid, surau dan balai ibadat selama 14 hari sehingga 12 Jun yang meliputi tiga kali Jumaat.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Dewan Al-’Afiah. Turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

“Langkah membuka semula ini adalah disandarkan kepada ketetapan Fatwa Mufti Kerajaan Bil: 02/2020 iaitu setelah meyakini bahawa keadaan wabak tersebut di negara kita adalah sudah terkawal sebagaimana pernyataan serta nasihat Kementerian Kesihatan.

“Maka sama-samalah kita bermunajat memohon kepada Allah SWT supaya terlindung daripada bala bencana wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia khasnya dan wabak penyakit-penyakit yang lain, sambil tetap berusaha dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan serta mengamalkan panduan-panduan kawalan kesihatan yang dianjurkan,” tekan Yang Berhormat Pehin.

Menurutnya lagi, Kementerian Hal Ehwal Ugama sukacita mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas-petugas yang telah memberikan khidmat cemerlang mereka menyelenggarakan kawalan-kawalan yang diperlukan.

Mereka terdiri daripada Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Sukarelawan Belia Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Persatuan Bulan Sabit
Merah, persatuan pengakap, pegawai-pegawai masjid yang terdiri daripada imam, bilal dan marbut serta ahli jawatankuasa takmir dan sukarelawan masjid, surau dan balai-balai ibadat, katanya.

Beliau turut memuji jemaah seramai lebih 30,000 orang yang datang bersembahyang secara teratur dan tertib dengan persiapan yang rapi seperti dikehendaki.

Anggaran jumlah jemaah itu diperolehi daripada catatan Kementerian Kesihatan melalui aplikasi BruHealth, tambahnya.

Beliau seterusnya menekankan bahawa kita perlu percaya dan yakin bahawa dengan berkat doa dan amal ibadat serta amal kebajikan yang disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh lagi ikhlas daripada semua pihak iaitu pihak-pihak kerajaan dan orang ramai, Insya- Allah dengan rahmat dan izin Allah jua wabak COVID-19 di negara kita ini akan terkawal keadaannya dan seterusnya akan segera berakhir.

Menurutnya, jangkitan COVID-19 yang turut melanda negara sejak ia mula dikesan pada awal bulan Mac tahun ini telah menimbulkan keadaan luar biasa yang menjejaskan kehidupan seharian kita, bukan sahaja mata pencarian dan peniaga-peniaga dalam sektor tertentu malahan pelaksanaan amalan serta perayaan keagamaan yang mana kebetulan dalam tempoh dari mula jangkitannya di negara ini diketahui pada 9 Mac itu termasuklah Sambutan Isra’ Mikraj dalam bulan Rejab, Nisfu Syaban dalam bulan Syaban, ibadat puasa, sembahyang sunat tarawih, Sambutan Nuzul Al-Quran dan tadarusAl-Quran dalam bulan Ramadan dan seterusnya sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal lalu turut terjejas.

“Namun demikian, kita telah menempuhnya dengan baik, sabar dan dengan sikap yang dan wajar, penuh pengertian serta persefahaman sehingga dapat merancang dan melaksanakan alternatif yang praktikal termasuklah mengaturkan pelaksanaan tugas dari rumah, bermesyuarat yang melibatkan dua hala dan berbagai-bagai hala melalui aplikasi online begitu juga persekolahan, amalan mengaji atau bertadarus dan khatam Al-Quran. “Maka setelah kita memasuki tahap pengurangan langkah-langkah pengawalan COVID-19 atau de-escalation sekarang ini jangan pula kita terlalu ‘iski’ sehingga leka dan lalai. Ingat baik-baik bahawa kita masih dalam keadaan berwaspada dengan usaha menghindarkan bahaya jangkitan yang meluas di kalangan masyarakat, jika terjadi akan mencemaskan dan sangat membahayakan,” nasihatnya.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan, dalam konteks inilah pembukaan semula masjid bertahap-tahap sehingga ke tahap keempat nanti, sekitar bulan Julai selepas melalui tahap pertama yang baru memasuki Jumaat kedua pada 5 Jun ini dan Jumaat ketiga pada 12 Jun nanti.

“Untuk itu, kita perlu terus berusaha melicinkan urusan dan pengendalian beberapa perkara dalam pelaksanaan sembahyang Fardu Jumaat di masjid, surau dan balai-balai ibadat seluruh negara.

“Tatacara pelaksanaan berhemat juga akan diatur untuk sembahyang fardu lima waktu pada tahap yang dirancang sebelum masjid, surau dan balai-balai ibadat kembali berfungsi dalam keadaan normal, termasuklah juga diri kita yang beribadat dan giat mentakmirkannya,” tambahnya.

Manakala dalam sesi soal jawab mengenai persiapan peperiksaan bagi sekolah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin mengatakan, ia akan tertakluk kepada perkembangan terkini COVID-19 dan akan diumumkan kelak.

Manakala mengenai ibadah haji tahun ini, beliau menjelaskan bahawa Negara Brunei Darussalam belum lagi memutuskan sama ada ia akan diteruskan atau ditangguhkan memandangkan penularan wabak masih berleluasa dan Arab Saudi tidak terkecuali dijangkiti wabak itu, maka keputusan penangguhan atau diteruskan akan diumumkan juga dalam sedikit masa lagi.