Tatacara pengambilan lesen di pejabat pos

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Pengambilan Lesen Memandu (DL) dan Lesen Kenderaan (VL) melalui cawangan-cawangan Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP) dilaksanakan bermula 24 Ogos lalu bagi pemohon-pemohon yang memilih mengambil di cawangan-cawangan.

Antara cawangan bagi tujuan pengambilan tersebut adalah Pejabat Pos Rimba bagi Daerah Brunei dan Muara, Pejabat Pos Telisai bagi Daerah Tutong, Pejabat Pos Kuala Belait-Mumong bagi Daerah Belait dan Pejabat Pos Bangar bagi Daerah Temburong.

Pemangku Ketua Pos Agung, Haji Aminuddin bin Haji Mohd Taib menjelaskan, tatacara pengambilan lesen melalui cawangan JPP adalah DL dan VL yang siap diproses oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) akan diserahkan ke Pusat Memproses Mel dan Bungkusan Berakas.

Pelanggan akan dihubungi oleh pihak JPD melalui telefon untuk memastikan maklumat dan alamat persuratan adalah betul. Kemudian, DL dan VL yang telah disemak akan dihantar ke cawangan pos mengikut tadahan bagi proses penyerahan.

Hanya pelanggan yang tersenarai dan telah dihubungi boleh mengambil DL dan VL berkenaan.

Pelanggan ini disarankan untuk bekerjasama bagi mengambil lesen memandu dan kenderaan mereka pada masa-masa yang telah ditetapkan.

Menurut beliau lagi, cawangan pos Rimba, Telisai, Bangar dan Mumong akan menyerahkan DL dan VL kepada pelanggan yang sudah dihubungi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah disediakan. Mana-mana DL dan VL yang tidak dapat diserahkan oleh sebab-sebab tertentu akan dikembalikan ke JPD bagi urusan selanjutnya.

Beliau menjelaskan perkara itu semasa sidang media yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi di mana beliau menekankan bahawa dalam mengutamakan keselamatan pelanggan dan kakitangan JPP di seluruh negara, JPP akan terus mengikut perkembangan terkini situasi COVID-19.

Sehubungan itu, tambah beliau, JPP akan terus komited dalam memastikan perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan adalah selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan bagi memastikan pengurangan penularan COVID-19, terutamanya pada pelanggan-pelanggan JPP.

Di kesempatan ini, beliau bagi pihak JPP mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan dan kerjasama mereka dalam mematuhi SOP yang ditetapkan sewaktu mengambil bungkusan di Pusat Memproses Mel dan Bungkusan Berakas. Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (CSC) di talian 2380481, WhatsApp (8711992) atau e-mel kepada cscpost@post.gov.bn.